Top Ad 728x90

Penyakit peluh melampau

PERNAHKAH anda mengalami masalah peluh yang terlampau? Misalnya tangan yang berpeluh ketika anda menjawab soalan peperiksaan hingga membasahkan kertas jawapan atau pada kaki sehingga kasut kanvas anda basah.

Keadaan peluh yang melampau ini adalah sejenis penyakit dan ia dikenali sebagai hiperhidrosis. Begitupun, tidak ramai yang mengenali keadaan ini sebagai penyakit. Kebanyakannya beranggapan sebagai masalah biasa yang terjadi pada semua orang.

Dari segi perubatan, hiperhidrosis adalah masalah peluh yang terjadi dalam satu peratus populasi. Biasanya ia terjadi pada tangan (disebut palmar hyperhidrosis), ketiak (axillary hyperhidrosis) dan kaki (plantar hyperhidrosis).

Pakar Runding Perubatan Am, Pencernaan dan Bedah Laparaskopik, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Lukman Mohd Rashid, berkata punca sebenar hiperhidrosis tidak diketahui dengan tepat, namun peluh diketahui dikawal oleh sistem saraf dikenali sebagai sympathetic.

“Hiperhidrosis menyebabkan seseorang berasa terganggu. Ia bukan saja menjejaskan keyakinan diri tetapi menyebabkan tekanan,” katanya.

Bayangkan jika kaki berpeluh hingga kasut basah seakan disiram air, stokin pasti cepat berbau begitu juga kaki. Jika peluh di tangan, ia menyebabkan si pesakit malu untuk bersalam dengan kenalan baru. Malah, jika memandu, tangan boleh terlepas daripada stereng.

Apakah punca hiperhidrosis? Dr Lukman berkata, secara umumnya, dalam keadaan biasa, hypothalamus iaitu bahagian otak yang mengawal fungsi berkaitan peluh menghantar isyarat kepada saraf peluh. Saraf ini sebahagian daripada sistem saraf sympathetic yang terletak dalam rongga kaviti. Bagaimanapun, dalam kes hiperhidrosis, kelenjar peluh tidak patuh pada isyarat yang dihantar.

“Dalam kebanyakan kes, saya melihat ada kaitan genetik. Biasanya pesakit yang saya rawat adalah adik beradik,” katanya.

Ada banyak rawatan hiperhidrosis bergantung kepada keadaan seseorang. Suntikan botox adalah satu daripadanya. Bagaimanapun, kebanyakan rawatan itu bersifat sementara.

Satu lagi kaedah untuk mengawal hiperhidrosis yang serius adalah melalui pembedahan.

Prosedur pembedahan



Selepas dibius, tebukan kecil dibuat sekitar satu sentimeter (sm) dibuat di bawah ketiak


Udara masuk melalui tebukan itu melalui rongga kaviti


Peralatan endoskopi (kamera fiberoptik dan alatan pembedahan lain seperti gunting kecil) dimasukkan.


Selepas mengenal pasti kedudukan saraf sympathetic yang sepatutnya dipotong di celah-celah tulang rusuk, ia kemudiannya digunting. Mengenal pasti kedudukan saraf sympathetic yang betul sangat penting kerana tersalah potong ia akan menjejaskan bahagian tubuh yang lain. Misalnya bahagian muka.


Proses itu akan dilakukan di kedua-dua belah badan, di bahagian kanan dan kiri

Dr Lukman berkata, pembedahan ini hanya memberi kesan parut yang sangat minimum, kecil dan tersembunyi dengan baik di bawah ketiak.

Bagaimanapun, pembedahan bukan juga pilihan terbaik untuk sesetengah orang. Ini kerana ada juga kes selepas melalui pembedahan menggunting saraf sympathetic, masalah peluh berlebihan akan berulang. Namun, jumlah itu lebih kecil berbanding mereka yang sembuh sepenuhnya menerusi pembedahan.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90