Top Ad 728x90

Tahlil secara on-line

TAHLIL sudah menjadi sebahagian kehidupan umat Islam di negara ini. Malah, boleh dikatakan orang Islam Malaysia membesar bersama tahlil.

Ketika kanak-kanak, kita mengikut ibu bapa ke kenduri tahlil dan apabila dewasa, menyertai majlis tahlil yang diadakan di surau, masjid dan di rumah jiran serta kenalan.

Majlis tahlil bukan saja diadakan oleh individu seperti ketika memasuki rumah baru, malah hingga peringkat negara dan rasmi sempena pelbagai peristiwa seperti Hari Pahlawan dan Bulan Kemerdekaan.

Tahlil juga sinonim dengan Ramadan. Ketika bulan suci ini memasuki fasa pertengahan, semakin banyak masjid dan surau turut mengadakan majlis tahlil.

Kebiasaannya majlis tahlil diadakan serentak bersama membaca surah Yassin dan diakhiri dengan doa selamat menyebabkan diberi pelbagai nama seperti majlis tahlil dan doa selamat atau majlis membaca Yassin dan tahlil.

Kebanyakan majlis tahlil dipimpin oleh mereka yang mempunyai pengetahuan agama seperti imam dan ustaz.

Jika majlis diadakan di kediaman individu, maka imam dan ustaz ketika berdoa akan menyebut nama yang diminta oleh tuan rumah seperti ibu bapa atau sebarang nama lain yang sudah meninggal dunia supaya roh simati mendapat kesejahteraan.

Bagaimanapun, majlis tahlil di masjid dan surau, termasuk ketika Ramadan sekarang dilakukan oleh jemaah secara beramai-ramai. Sebelum itu, borang disedarkan dan mereka yang berminat akan menulis nama ibu bapa atau waris.

Ketika majlis tahlil, nama si mati satu demi satu disebut ketika doa. Sama ada di rumah, masjid atau surau, sedikit bayaran diberikan sebagai sedekah.

Zaman berubah, tetapi amalan tahlil terus mekar. Bagaimanapun, tiada siapa terfikir bahawa perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), terutama internet memberi kesan terhadap amalan tahlil.

Sebuah pusat pengajian agama di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Madrasah al-Yamani, mencipta inovasi dengan memperkenalkan tahlil secara dalam talian (online).

Memperjelaskan kaedah baru ini, Mudir Madrasah al-Yamani, Mohd Fadzli Ahmad, berkata inovasi itu bertujuan memperluaskan jangkauan umat Islam yang mahu mengadakan tahlil, tetapi tidak dapat melakukannya.

Katanya, memang lebih afdal jika tahlil dilakukan sendiri olah anak atau waris, tetapi kadangkala mereka terpaksa meminta pertolongan orang lain kerana tidak boleh melakukan sendiri.

“Tahlil online diperkenalkan sebelum Ramadan lalu kerana kita memikirkan tidak semua orang ada masa membaca al-Quran dan berzikir banyak-banyak. Kebetulan saya dan pelajar setiap hari membaca al-Quran.

“Jadi kita minta niatkan amalan kamu (pelajar) kepada arwah yang meninggal dunia,” katanya yang mengasaskan madrasah itu pada 1994.

Mohd Fadzli berkata, tahlil online dibuka kepada mereka yang berminat dan diminta bersedekah untuk membantu madrasah. Menamakan waris dan pembayaran dibuat secara online melalui laman web www.etahlil.com.my.

“Kita doakan untuk mereka dan bayaran dibuat bukan atas dasar harga. Perkara ini (tahlil) tidak dapat dinilai. Perkataan Subhanallah lebih mahal dari dunia dan seiisinya. Cuma kita menggalakkan sumbangan untuk madrasah dengan harapan dapat digunakan untuk pembelajaran pelajar,” katanya.

Tanpa latar belakang IT, beliau memberitahu bahawa idea mewujudkan tahlil online adalah cetusan fikiran `rakan-rakannya’.

Beliau yang mengajar dan menyampaikan ceramah agama di masjid dan pejabat pelbagai organisasi, berkata `rakan-rakannya’ adalah mereka yang mendengar ceramah atau belajar agama dengannya

“Mereka kata mengapa tidak membuka laman web yang membolehkan mereka yang berminat menyatakan nama ibu bapa atau waris yang meninggal dunia dan bersedekah secara dalam talian,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, `rakan-rakannya’ membantu membina laman web hingga menjadi kenyataan.

Bertahlil untuk orang lain bukan perkara baru kerana sejak enam tahun lalu, katanya madrasah itu mengadakan solat hajat, membaca surah Yassin dan tahlil setiap hari Khamis malam Jumaat, tanpa mengira ada atau tidak permintaan daripada orang ramai.

Madrasah al-Yamani yang bermula dengan hanya tiga orang kini mempunyai kira-kira 70 pelajar, termasuk dari negara luar seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Mulai 1 hingga 27 Ramadan, katanya pelajar termasuk berstatus hafiz membaca al-Quran hingga khatam setiap pagi, manakala selepas solat Asar, mereka berzikir `tiada Tuhan melainkan Allah’ sebanyak 1,000 kali.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90