Sedekah di bulan Ramadan

Keseronokan beramal pada Ramadan semakin terasa apabila umat Islam mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan dalam bulan rahmat ini tetapi amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, menunaikan umrah, beribadah pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar.

Puasa juga mendidik rohani supaya menjauhi sifat suka mengumpat, berbohong, memaki hamun, tidak melihat perkara tidak baik atau mendengar perkara maksiat.

Bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa contohnya sudah menjadi rutin umat Islam di Malaysia. Dulunya, amalan itu dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan.

Ini kerana anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel terkemuka, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru saja berlalu dua tiga hari.

Salafus soleh seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha'i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lain.

Keadaan itu berlarutan walaupun sebaik selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Hadis diriwayatkan At-Tirmizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja antara orang mukmin yang memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah akan memberinya minuman Rahiqul Makhtum."

Jika umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah supaya saranan bantu-membantu dan tolong-menolong dapat direalisasikan.

Sikap bermurah hati pada Ramadan sangat dipuji seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan, merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih.

Firman Allah yang bermaksud: "Dengan sebab (mereka menjaga diri daripada kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera." (Surah Al-Insaan)

Pihak melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai adalah apabila melihat orang lain dapat merasai apa dirasai, bahagia dengan apa yang diperoleh serta bersyukur dengan rezeki dianugerahi melalui orang yang bermurah hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun." (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani)

Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah yang besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri.

Orang yang ikhlas menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah sebagai amal ibadah dan sedekah.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah paling utama adalah pada bulan Ramadan."

Justeru, sama-samalah berdoa dan berharap supaya Ramadan kali ini kita dilindungi Allah daripada segala kejahatan dan kemaksiatan kerana tidak ada syaitan dan iblis yang akan mengganggu gugat nafsu manusia melainkan empunya badan sendiri.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url