Pelanggan boleh menukar syarikat talian mudah alih
MNP merupakan kemudahan yang membolehkan pengguna bertukar pengendali perkhidmatan telefon mudah alih yang baru tanpa perlu mengubah nombor telefon mereka.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, MNP merupakan perkhidmatan yang memberikan pengguna lebih kebebasan dan fleksibiliti untuk memilih produk dan perkhidmatan yang dapat memberi kepuasan kepada kehendak mereka.
Menurutnya, perkhidmatan itu dibuka setelah mendapati sambutan yang diberikan oleh para pelanggan telefon mudah alih di Lembah Klang amat memberangsangkan.
Beliau memberitahu, pihaknya membuat cubaan MNP di Lembah Klang selama enam minggu mendapati sebanyak 12,000 pelanggan di Lembah Klang telah menukar nombor pengendali talian telekomunikasi masing-masing.
Katanya, cubaan pertama itu berjaya menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan sekali gus mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneruskan perkhidmatan berkenaan.
''Dalam setiap proses pertukaran pengendali talian berkenaan, para pengguna hanya dikenakan bayaran sebanyak RM25 bagi setiap pertukaran yang dilakukan.
''Para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan MNP melalui ejen yang dilantik, pengedar sah atau melalui pengendali talian masing-masing,'' katanya selepas melancarkan kemudahan alih nombor (MNP) di sini hari ini.
Pelanggan prabayar yang berdaftar dengan pengendali talian mudah alih di seluruh negara setakat ini adalah seramai 20.6 juta orang dan pasca bayar pula sebanyak 4.5 juta orang.
Ketika ditanya mengapa industri telekomunikasi memerlukan MNP pada waktu ini, beliau berkata, kerajaan berbuat demikian bagi memastikan setiap rakyat yang menggunakan telefon mudah alih untuk tujuan komunikasi di negara ini dapat menikmati mutu dan jenis perkhidmatan yang berkualiti dan bertaraf dunia.
Jelasnya, kerajaan sudah menjalankan kajian dan mendapati pasaran sedia ada sudah bersedia untuk diperkenalkan MNP.
Shaziman memberitahu, kerajaan bagaimanapun akan memantau perkembangan MNP selepas ia membuka tawaran itu di seluruh negara.
Katanya, perkhidmatan tersebut memberi persaingan sihat di antara pengendali-pengendali talian mudah alih selain mengajar pihak berkenaan meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.
Bermula esok, tambahnya, para pengendali talian mudah alih boleh mempergiatkan promosi dan iklan masing-masing bagi menarik minat dan perhatian para pelanggan untuk memilih perkhidmatan yang ditawarkan mereka.
Ditanya mengenai penyelarasan caj dan bayaran bagi setiap panggilan, Shaziman berkata, ia terpulang kepada pengendali talian mudah alih masing-masing.
Katanya, para pengendali talian berhak menawarkan caj yang terendah dan terbaik bagi menawan hati para pelanggan masing-masing.
''Ia merupakan pasaran terbuka dan setiap pengendali talian mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing,'' ujarnya.
Maxis
Maxis Communications Bhd. (Maxis) menyediakan sebanyak 3,000 lokasi untuk para pelanggan mudah alih di seluruh negara mendapatkan kemudahan alih nombor (MNP) kendaliannya yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan secara tanpa kertas dan melalui dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, melalui penyediaan lokasi itu, pihaknya yakin ia akan mengekalkan Maxis sebagai peneraju talian mudah alih di seluruh negara.
Katanya, MNP memberi kebaikan kepada pelanggan yang boleh memilih pengendali talian yang digemari dan ia memaksa semua pengendali supaya menawarkan perkhidmatan lebih berkesan.
"Kami menyokong usaha memperkenalkan MNP dan akan memastikan usaha itu mencapai matlamat,'' katanya.
Maxis sehingga akhir Jun lalu dilaporkan mempunyai seramai 10.534 juta pelanggan mudah alih di seluruh negara.
Syarikat itu kini menjadi peneraju pasaran dalam kedua-dua segmen iaitu prabayar dan pasca bayar.