Subjek sejarah penting untuk pembangunan negara

Perpaduan antara kaum di negara kini menghadapi cabaran yang cukup kuat dan harus ditangani dengan cermat. Pada masa sekarang pun kita sudah terasa kesannya apabila golongan dewasa tidak tahu sejarah negaranya sendiri.

Sebab itu sebelum terhantuk, elok kita beringat-ingat akan pengalaman lepas. Apatah lagi kebanyakan masyarakat kita hari ini memandang sepi pada mata pelajaran Sejarah di sekolah.

Sebab itu, saranan Perdana Menteri supaya sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah memang patut disambut oleh Kementerian Pelajaran.

Beberapa tahun lalu, Kementerian Pelajaran pernah digesa agar memperkasakan semula mata pelajaran Sejarah di kalangan pelajar termasuk memperkenalkannya di peringkat sekolah rendah.

Ia penting dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar selain memberi kefahaman kepada mereka terhadap sejarah tanah air.

Isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum di negara ini tidak patut berlaku jika sejarah tanah air tidak disalah tafsir dan kurang difahami oleh rakyat.

Barangkali apa yang berlaku kini mungkin kerana pelajaran sejarah Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia tidak diajar di semua sekolah di negara ini. Mata pelajaran ini hanya diajar di sekolah-sekolah milik kerajaan sahaja.

Bukan sedikit golongan pelajar kini kurang memahami, apatah lagi mahu menghayati sejarah tanah air kerana mereka hidup selepas zaman kepayahan terutama ketika perang dahulu.

Mereka ini tidak didedahkan dengan sejarah susah payah menuntut kemerdekaan dan memajukan negara sehingga membolehkan mereka menikmati kejayaannya hari ini.

Sebab itu, bermula dengan murid sekolah rendah, Kementerian Pelajaran perlu memberikan mereka lebih banyak pendedahan mengenai tokoh-tokoh penting negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan VT Sambanthan.

Kalau mata pelajaran Sejarah mahu kembali di dalam kelas sekolah rendah, ia perlu pendekatan baru dengan menjadikannya sebagai mata pelajaran yang wajib lulus.

Perkara itu akan membolehkan mata pelajaran Sejarah diperkasakan, sekali gus dapat memupuk minat mendalam di kalangan murid mengenai sejarah negara dan perjuangan pemimpin terdahulu.

Mata pelajaran Sejarah amat penting untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada setiap rakyat Malaysia supaya mereka menyedari hakikat kedudukan dan kehidupan mereka di negara ini.

Tanpa kesedaran ini, mereka tidak mungkin menjadi satu masyarakat yang bertolak ansur.

Setiap usaha kerajaan untuk memupukkan perpaduan kaum akan sukar dicapai jika kejahilan mengenai sejarah boleh menyebabkan pihak tertentu bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.

Seboleh-bolehnya kita mahu anak-anak generasi kini dan akan datang, sebagaimana kata Perdana Menteri adalah seorang rakyat yang sangat memahami sejarah tanah air, bangsa dan pengorbanan pemimpinnya, walaupun mereka menjadi jurutera atau doktor.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url