85% tenaga kerja Malaysia di Singapura ditipu
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, mereka mengadu dibayar gaji rendah dan diberi kerja yang berlainan daripada apa yang dijanjikan oleh agensi pekerjaan sebelum ke negara itu.
Menurut beliau, pada masa ini terdapat 500,000 tenaga kerja Malaysia di Singapura dan sebahagiannya datang dari Sabah dan Sarawak.
"Kita telah menerima 2,400 aduan yang kebanyakannya penduduk Sabah dan Sarawak. Bagi mengatasi masalah ini, kita minta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenal pasti agensi-agensi pekerjaan ini.
"Agensi-agensi pekerjaan ini boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JTK Sabah di sini hari ini.
Beliau yang tidak menjelaskan jumlah sebenar tenaga kerja dari Sabah dan Sarawak di Singapura berkata, pada masa ini hanya satu agensi pekerjaan yang beroperasi di negeri ini berdaftar secara sah.
Sehubungan itu katanya, bagi mencegah agensi-agensi haram berkenaan daripada terus beroperasi, orang ramai diminta melapor kepada JTK negeri jika melihat iklan mereka.
"Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut di bawah Agensi Pekerjaan Swasta dan jika agensi haram ini membuat iklan, boleh didenda RM3,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup untuk kira-kira 60,000 rakyat Sabah yang masih menganggur.
Subramaniam berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk menyerapkan mereka dalam pasaran kerja tempatan kerana dianggarkan 300,000 rakyat asing bekerja secara haram di Sabah.
"Jika 60,000 rakyat Sabah yang menganggur ini dapat mengisi peluang pekerjaan yang dimonopoli 300,000 pekerja asing tidak sah, masalah pengangguran akan selesai," katanya.
Beliau memberitahu, Sabah pada ketika ini mempunyai 74,000 rakyat asing yang bekerja secara sah.
Dalam pada itu kata Subramaniam, kementeriannya akan turut menyediakan program-program untuk membantu golongan muda di sini bagi mewujudkan tenaga kerja mahir.
Katanya, proses melahirkan tenaga kerja mahir akan ditumpukan dalam bidang tertentu khususnya kehendak pasaran kerja masa kini.