Dana RM7b rangsang ekonomi
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perbelanjaan tambahan hasil penjimatan subsidi minyak itu akan dibelanjakan untuk 15 bidang meliputi perumahan, pendidikan, pengangkutan serta insentif bagi menggalakkan kegiatan pelaburan dan perniagaan, yang bakal memanfaatkan rakyat secara langsung, sekali gus merangsang kegiatan ekonomi negara.
Menggulung perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan langkah meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat termasuk membenarkan pekerja mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus selama dua tahun.
Kerajaan juga memberikan pilihan kepada peminjam sedia ada pinjaman perumahan kakitangan awam melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun. Had kelayakan pinjaman kereta kakitangan awam sebanyak RM10,000 dinaikkan kepada antara RM55,000 kepada RM70,000 bergantung kepada gred jawatan.
Bagi mengurangkan beban pekebun kecil pula, kerajaan akan memansuhkan cukai import sebanyak lima peratus ke atas tujuh jenis baja.
"Dengan langkah ini semua baja mineral diimport tidak lagi dikenakan cukai. Di samping itu pengeluar baja tempatan juga bersetuju untuk mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja keluaran mereka dengan serta merta," katanya.
Najib juga mengumumkan penggunaan biodiesel daripada sawit bagi kenderaan kerajaan berkuat kuasa Februari tahun depan dalam usaha kerajaan menstabilkan harga minyak sawit.
Untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta, beberapa langkah liberalisasi termasuk menghapuskan duti import dan permit import bagi simen dan produk besi keluli panjang untuk sektor pembinaan akan diperkenalkan.
Katanya, langkah itu akan menyokong usaha kerajaan merangsang pertumbuhan sektor pembinaan di samping menyediakan persekitaran berdaya saing dalam industri bekalan bahan binaan negara.
Bagi menggalakkan pelaburan, terutama dalam sektor hartanah, kerajaan membenarkan individu atau entiti asing membeli hartanah komersil bernilai lebih RM500,000 tanpa memerlukan kelulusan FIC dengan dengan syarat hartanah itu adalah untuk kegunaan sendiri.
Untuk membantu usahawan perniagaan kecil pula, Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan RM200 juta untuk disalurkan sebagai pinjaman mudah di bawah Skim Kredit Mikro.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi menangani masalah pengangguran, kerajaan akan mewujudkan Skim Pengurusan Pekerjaan Siswazah (GEMS) yang akan dikendalikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd.
"Sasaran program itu ialah untuk melatih sehingga 12,000 graduan dalam tempoh dua tahun," katanya.
Najib menegaskan, dengan mengambil kira semua faktor global dan domestik serta pelaksanaan langkah tambahan bagi Bajet 2009 itu, kerajaan mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 3.5 peratus tahun depan.
Walaupun lebih rendah daripada unjuran sebelum ini, ia masih di tahap memuaskan berdasarkan senario ekonomi global semasa. Bagi tahun ini, kerajaan yakin ekonomi negara mampu berkembang pada kadar lima peratus
Inflasi pula dijangkakan berada pada tahap antara tiga dan empat peratus jika harga minyak dunia kekal dalam arah aliran menurun seperti sekarang.
Beliau juga menjelaskan, di sebalik pelbagai langkah tambahan itu, jumlah perbelanjaan kerajaan yang dibentangkan dalam Bajet 2009 pada Ogos lalu, iaitu RM207.9 bilion masih tidak berubah. Defisit fiskal kerajaan tahun depan juga masih di tahap terkawal, dianggarkan pada kadar 4.8 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) negara.
Sebagai langkah baru untuk menjana pendapatan tambahan dan merancakkan lagi kegiatan ekonomi, kerajaan bercadang memaksimumkan pulangan daripada semua aset sedia ada termasuk tanah di kawasan strategik yang belum dimajukan.
Untuk itu, kerajaan bercadang membuat tender terbuka yang membabitkan sektor swasta dan GLC bagi memajukan tanah berkenaan.
Sebahagian besar pemerolehan kerajaan pula akan dilakukan melalui tender terbuka dan terhad bagi memastikan kerajaan mendapatkan nilai maksimum bagi wang yang dibelanjakannya. Ia termasuk kontrak dikhususkan untuk Bumiputera yang akan dibuat melalui bidaan kompetitif di kalangan syarikat Bumiputera.
Najib menjelaskan, langkah tambahan itu adalah 'tindak balas dasar' terhadap krisis kewangan dunia bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan rakyat tidak terlalu tertekan akibat krisis itu.
"Pembentangan Bajet 2009 lalu sememangnya sudah mengambil kira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi 2009. Namun, perubahan dalam ekonomi global yang tiba-tiba dan mendadak sejak akhir-akhir ini, memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global masa kini.
"Kerajaan sedar bahawa langkah tambahan biasanya tidak diumumkan dalam ucapan penggulungan, tetapi keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa," tegasnya.
Bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Projek di Kementerian Kewangan. Unit dianggotai pegawai kanan kerajaan, badan kawal setia dan GLC terpilih ini akan melapor terus kepada Menteri Kewangan.