Guna Kad Kredit Secara Bijak

Segala-galanya menjadi mudah dengan kad kredit. Tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah besar. Keselamatan lebih terjamin daripada risiko disamun atau kemungkinan wang hilang.

Gaya hidup moden mementingkan keberkesanaan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya.

Justeru ramai yang berminat memiliki kad kredit untuk kemudahan dalam urusan berkaitan kewangan. Dapat dilihat penggunaan kad kredit di kalangan rakyat kita semakin meluas.

Kad kredit digunakan untuk kemudahan pembayaran sesuai dengan konsep awal kewujudannya yang diasaskan oleh Frank MacNamara pada tahun 1950. Pada ketika itu hanya golongan jutawan dan ternama mampu milikinya. Pada peringkat awal penggunaannya, kad kredit menjadi lambang status.

Bagaimanapun, sekarang ini kad kredit telah mampu dimiliki orang kebanyakan. Di negara kita penggunaannya semakin meluas apabila kerajaan membenarkan pemiliki kad kredit kepada individu berpendapatan RM1500 sebulan atau lebih, bermula 28 Julai 1999.

Pada tahun 1994 hanya terdapat 1.56 juta kad dipegang rakyat Malaysia. Sedangkan, sekarang ini terdapat 6.88 juta kad kredit dimiliki rakyat Malaysia, iaitu peningkatan kira-kira 450 peratus dalam tempoh 11 tahun. Bilangan ini agak tinggi iaitu kira-kira 27 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Pada tahun 2004, pemegang kad kredit berbelanja sebanyak RM32.3 bilion, termasuk RM2.65 bilion dibelanjakan di luar negara. Dalam tiga bulan pertama tahun ini, pemegang kad kredit telah membelanjakan RM8.83 bilion, di mana RM727 juta dibelanjakan di luar negara. Berdasarkan jumlah tiga bulan pertama tahun ini, jumlah keseluruhan dibelanjakan tahun 2005 dijangkan meningkat berbanding 2004.

Berbelanja menggunakan kad kredit memang ?seronok? dan mudah. Namun, tidak ramai memikirkan kesan buruk kad kredit jika tidak bijak menguruskan pembayaran balik kepada pengeluar kad. Penggunaan kad kredit tanpa kawalan banyak menyebabkan pemiliknya muflis.

Kira-kira 25 peratus kes muflis pada tahun 2003 melibatkan pemegang kad kredit. Paling ramai diiystiharkan musflis akibat kad kredit ialah di kalangan eksekutif muda yang baru bekerja.

Justeru setiap orang yang ingin memiliki kad kredit perlu memikirkan kesan penggunaannya. Jangan jadikan kad kredit sebagai cara mudah memperoleh hutang. Kawalan terhadap sikap boros dan budaya berbelanja melebihi kemampuan sangat penting dalam memastikan asas jangka panjang ekonomi keluarga.

Langkah perancangan berkesan yang baik ialah mengetahui apa yang hendak dibuat dengan wang dan mengetahui perginya wang itu. Individu mesti mengenal pasti tabiat berbelanja, agar terhindar daripada bebelanja melebihi daripada pendapatan.

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ini memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu.

Kad kredit dikeluarkan kepada mereka berpendapatan agak tinggi sebagai jaminan pemiliknya dapat membayar balik perbelanjaan yang dibuat melalui kad kredit.

Antara sikap buruk pemegang kad kredit ialah mengambil mudah soal hutang. Ramai pemilik kad kredit berbelanja lebih daripada kemampuan membayar balik. Sikap demikian memperlihatkan keangkuhan dan berlebih-lebihan dengan kemudahan diberikan. Mereka membeli mengikut gerak hati walaupun tahu bahawa kemampuan kewangan tidak mengizinkannya.

Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk ramai pemilik kad kredit berbelanja sehingga had maksimun yang dibenarkan tanpa memikirkan keupayaan membayar. Segala keinginan berbelanja dipenuhi dengan menggunakan kad kredit.

Sebenarnya banyak perbelanjaan itu tidak penting dan boleh ditangguhkan sehingga memiliki wang tunai. Barangan atau perkhidmatan yang tidak penting atau sekadar ?elok ada? sepatutnya dibeli hanya apabila memiliki tunai.

Sebenarnya penggunaan kad kredit bukan disediakan secara percuma. Setiap urusniaga dikenakan cas perkhidmatan mengikut syarat-syaratnya. Hanya sebahagian syarikat menerima pembayaran melalui kad kredit tanpa dikenakan cas. Sebenarnya berbelanja tunai lebih menguntungkan.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah. Kadar faedah dikenakan agak tinggi iaitu 18 peratus mengikut kadar harian berdasarkan baki tertunggak.

Sekiranya pemegang kad kredit mengeluarkan wang pendahuluan tunai melalui mesin juruwang automatik (ATM), yuran khas dikenakan selain faedah biasa. Pada tahun 2004 sebanyak RM2.63 bilion dikeluarkan menerusi ATM, di mana pengeluar kad memperoleh sebanyak RM131 juta sebagai yuran pendahuluan.

Kadar faedah hutang kad kredit kira-kira sekali ganda berbanding kadar faedah yang dikenakan bank komersial. Sebab itu ramai pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan. Ramai pemilik kad kredit hanya membayar kadar faedah setiap bulan untuk mengelak hutang terus bertambah.

Pemegang kad kredit yang tidak membuat apa-apa pembayaran dalam tempoh enam bulan disifatkan sebagai hutang tidak berbayar (NPL). Pada Mac 2005 sebanyak RM518.7 juta dianggap NPL.

Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan.

Sesiapa yang dikenakan status bankrap dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada ramai individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Itulah kesan buruk memiliki kad kredit yang perlu difikirkan sebelum memohon memilikinya agar tidak terjebak dengan masalah hutang. Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan sahaja dan diniatkan untuk membayarnya.

Pihak kerajaan perlu mengadakan kawalan dengan mengurangkan had maksimum boleh dibelanjakan. Kawalan itu mengelak pemegang kad kredit berbelanja sehingga tidak mampu membayarnya.

Kawalan bilangan kad kredit yang boleh dimiliki oleh seseorang juga perlu dilakukan. Ada individu memiliki kad kredit sehingga melebihi 10 kad kredit daripada institusi kewangan berlainan dan terpaksa menanggung jumlah hutang yang banyak.

Kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah untuk membuat pinjaman. Ada pemohon kad kredit awal-awal lagi telah merancang untuk mendapat kemudahan kredit dan pengeluaran wang pendahuluan di tahap maksimun.

Peraturan tidak memaksa pemegang kad kredit membayar kesemua hutang semasa juga menyebabkan hutang semakin bertambah setiap bulan. Justeru setiap hutang perlu dijelaskan sepenuhnya secepat mungkin apabila berkemampuan Ini untuk mengelak wang itu digunakan tujuan lain sehingga menyebabkan tidak mampu menjelaskan hutang apabila tiba masanya.

Sesungguhnya sesiapa sahaja yang berbelanja tanpa memikirkan kemampuan membayar akan terjebak dengan masalah hutang. Biarpun pendapatan tinggi, tetapi jika tidak bijak berbelanja tetap akan berdepan dengan masalah muflis.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url