Khazanah Tamadun Purba Mesir
Firaun Tutankhamun adalah pemerintah ke-12 yang memerintah selama 10 tahun dan mati pada usia 19 tahun akibat penyakit misteri, lebih 3,000 tahun lalu. Mumianya dialihkan dari makam asalnya pada 1922 kepada keranda khas yang dikawal suhunya bagi membolehkan proses awetan berterusan.
Segala-galanya dipamerkan di situ, bermula ukiran di batu, hiasan barangan kemas diraja, senjata, makam firaun, bilik tidur lengkap milik firuan pada zaman kanak-kanak hingga dewasa. Satu daripadanya ialah katil kecil bersalut emas berbentuk binatang seperti dua ekor kijang di kepala katil.
Paling menarik sudah tentunya lawatan ke Bilik Diraja Mumia yang menempatkan 20 mumia diraja beberapa generasi pemerintahan firaun. Pelancong dikenakan tiket bayaran tambahan sebanyak 100 EL (RM70) untuk memasuki kedua-dua bilik itu yang dikawal ketat.
Timbul rasa kagum melihat susunan mumia firaun di dalam bilik kaca yang sentiasa dikawal suhunya bertujuan mengekalkan ketahanan manusia kuno itu. Keadaan mumia yang masih kekal dengan bentuk wajah, gigi, rambut serta badan menjadi tanda tanya bagaimana proses mengawet mayat dijalankan pada zaman itu.
Lokasi kedua yang harus dilawati ialah Piramid Giza terletak kira-kira 25 kilometer dari Kaherah yang menempatkan dua tiga piramid utama iaitu Menkaure, Khufu, Khephren dan patung singa berkepala manusia atau Sphinx, kira-kira satu kilometer daripada piramid berkenaan.
Mengenai piramid, rasanya tidak perlu diulas panjang mengenai satu daripada keajaiban dunia ini kerana ia sememangnya diketahui dan cukup popular di seluruh dunia. Namun, persekitaran kawasan itu turut menempatkan beberapa deretan kedai menjual minyak wangi tradisi Mesir.
Menariknya, minyak wangi pelbagai jenis ini tidak mengandungi alkohol serta tahan lama. Menurut seorang pengusaha, perniagaan itu adalah tradisi keluarga mereka sejak beribu tahun dulu dan masih dikekalkan keaslian sekali gus membezakannya dengan produk moden.
Antara jenama popular ialah Arabian Night, Kasanova, The Thousand & One Night yang dijual pada harga 2 EL (RM1.40) setiap milimeter (ml) tetapi botol paling kecil mengandungi muatan 150 ml. Ia sebenarnya lebih murah jika sanggup menghabiskan masa melawat beberapa bazar menempatkan pelbagai keperluan masyarakat setempat.
Bazar El Fishawy, Pasar Al-Khalili serta laluan sepanjang jalan Talaat Harb St dan Abdel Khaleq Tharwat St menawarkan harga lebih berpatutan serta mempunyai banyak pilihan untuk mencari hadiah kenangan.
Bandar Kaherah menjanjikan keselamatan tinggi kepada pelancong, tiada gangguan atau peminta sedekah yang mendekati, bebas ke mana saja.
Cuma, agak menakutkan ialah kesesakan lalu lintas yang teruk serta kesukaran melintas jalan yang berbanding di negara sendiri. Di sana, anda harus melintas jalan dengan cepat kerana pemandu tidak akan memperlahankan kenderaan sebaliknya pejalan kaki yang harus mempercepatkan langkah kerana bandar bersejarah ini tidak pernah sunyi daripada bunyi hon kenderaan.
Info
Mesir
Populasi: 80,335,036 orang (Julai 2007)
Populasi Kaherah: 20 juta orang
Etnik: Egyptian (98 peratus), Berber, Nubian, Bedouin dan Beja, Greek, Armenia dan lain bangsa Eropah (termasuk Itali dan Perancis)
Agama: Islam (Sunnah) 90 peratus, Cpptic (9 peratus) dan Kristian (1 peratus)
Bahasa: Arab (rasmi), Inggeris dan Perancis (biasanya diguna dan difahami golongan berpendidikan tinggi)
Kedudukan: Utara benua Afrika bersempadan dengan Laut Mediterranean, antara Libya dan Semenanjung Gaza.
Keluasan: 1,001,450 kilometer persegi