Kongsi mimpi indah anda
Kandungan dan tujuan biologi mimpi tidak dapat difahami sepenuhnya, walaupun topik ini mendapat perhatian umum sejak berabad lamanya. Kajian saintifik mengenai mimpi dipanggil sebagai oneirologi.
Kajian menunjukkan terdapat sekumpulan tema yang kerap berlegar dalam mimpi. Antaranya ialah situasi membabitkan sekolah, dikejar, berlari dengan perlahan, seakan-akan terjatuh, datang lambat, seseorang yang masih hidup tiba-tiba mati, gigi tercabut dan saat memalukan.
Menariknya, hanya 12 peratus daripada kita yang pernah bermimpi dalam hitam putih. Ada orang berpendapat mimpi itu mainan tidur semata-mata, namun ada juga yang mengambil perhatian serius terhadap mimpi mereka. Katanya, mimpi memberikan semacam satu petunjuk dalam meneruskan kehidupan.
Berikut serba sedikit mengenai makna mimpi (ini hanya tafsiran dan ketepatannya tidak diyakini seratus peratus):
Labah-labah - Melihat labah-labah bermakna anda akan menjadi lebih berhati-hati, bekerja dengan rajin dan mendapat kejayaan.
Labah-labah yang besar bermakna kejayaan akan cepat tiba. Tetapi, jika dikejar atau digigit labah-labah, bermakna akan timbul masalah atau kesukaran dengan kejayaan anda.
Tingkap - Jika bermimpi melihat sesuatu dari tingkap, ini bermakna anda akan murah rezeki. Mimpi membuka tingkap memberikan khabar yang baik manakala mimpi tingkap pecah bererti anda bakal mendapat kesukaran dalam perniagaan dan cinta.
Air - Air melambangkan emosi dan perasaan anda. Dalam mimpi, ia menggambarkan hidup dan kelahiran. Menyeberang sebuah sungai bermakna perubahan dan sungai kecil yang mengalir dengan cepat menunjukkan emosi yang tidak dapat dikuasai.
Ular - Jika anda seorang jejaka atau gadis yang bermimpi melihat atau dipatuk ular, bermakna anda bakal menamatkan zaman bujang.
Sekiranya anda sudah pun berkahwin, ia bermakna anda akan memperoleh kemakmuran hidup. Mimpi melihat ular berwarna-warni, bererti kebahagiaan akan menjelma.
Mimpi melihat ular yang banyak sekali, bermakna akan panjang umur. Namun awas, jika anda bermimpi dikelilingi banyak ular, bermakna ramai yang memusuhi anda.
Wang - Jika anda bermimpi kehilangan wang, bermakna akan memperoleh rezeki yang halal. Mimpi mendapat wang saja bermakna anda akan jatuh sakit.
Mimpi menyebar wang, bermakna akan menderita kerugian kerana melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Mimpi menabung wang bermakna akan dibenci atau diperdaya orang.
Topi - Jika anda bermimpi memakai topi, bermakna kedudukan anda akan semakin lebih baik. Mimpi kehilangan topi bermakna ada sesuatu yang akan hilang di rumah anda.
Terbang - Jika anda bermimpi terbang dengan pesawat, bermakna akan datang tawaran istimewa kerana anda yang mempunyai kelebihan yang sangat berharga.
Kalau diri anda yang terbang, ertinya anda akan memperoleh satu pengalaman atau ilmu yang bermanfaat dan berguna dalam hidup atau kerjaya anda.
Salji - Jika anda bermimpi melihat hamparan salji yang memutih, bermakna ada berita gembira menanti anda.
Itu antara maksud tertentu dalam mimpi, sama ada ingin mempercayainya atau tidak, terpulang. Tetapi, jangan pula terlalu taksub dengan mimpi kerana dikhuatiri akan memudaratkan diri.