Masa depan di tangan sendiri

Hidup yang sementara ini, selayaknya diharungi dalam konteks yang tuntas dan berpaksi ajaran Islam dalam membina kehidupan sejahtera dan mendapat keredaan Allah. Orang bijaksana, bukan terlalu bersandarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebaliknya, diseiringkan dengan ajaran wahyu atau agama tanpa sangsi kerana pasti kita menginginkan kehidupan tenang dan selesa. Semua itu boleh dicapai asal saja kita berusaha mencari dengan cara diizinkan agama. Ketenangan dan keselesaan hanya dapat dinikmati dengan mendekatkan diri kepada Allah serta memperbanyakkan amalan baik.

Kehidupan ini begitu menakjubkan bagi mereka yang mahu memikirkannya. Allah menjadikan kehidupan untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Namun semua itu bergantung kepada kehendak serta usaha kerana kehidupan terhampar depan mata bukan untuk dipandang sepi sebaliknya direncanakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, selayaknya kita menjadi hamba bijaksana mengurus kehidupan seharian. Dengan nawaitu yang tulus, kita membina kehidupan melalui usaha dan kerja yang bersungguh, tanpa mengenal erti jemu.

Tidak sukar menghadapi kehidupan dengan syarat kita bersedia menggunakan akal serta kudrat kurniaan Allah kerana Allah menyayangi hamba-Nya yang mahu berusaha dan tidak mensia-siakan peluang diberi. Selepas itu, manusia perlu bertawakal kepada ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui kerana janji Allah adalah pasti asalkan hamba-Nya tidak pernah lupa mensyukuri nikmat diberi. Firman Allah bermaksud: “Jika kamu bersyukur dengan kurniaanku, nescaya akan Kutambahkan rezeki Ku untukmu. Namun, jika kamu kufur, azab Ku amatlah pedih.”

Kehidupan tidak patut dipersiakan. Selagi ada upaya, cari kebaikan seperti disarankan agama. Orang yang kuat ( penguasaan ilmu dan kejayaan hidup) lebih baik daripada mereka yang lemah. Kita perlu mengubah kehidupan supaya menjadi lebih sempurna kerana hanya kita yang boleh menentukan arah tuju masa depan. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak akan Ku ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”

Kesempatan yang masih ada ini, sebaiknya digunakan untuk menjadi manusia bijaksana mengurus kehidupan, selain terus berusaha dan bekerja. Umat Islam mesti mempunyai misi tuntas. Selain usaha dan gerak kerja berterusan, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang menjadikan Islam kuat.

Kekuatan itu bukan untuk menindas orang lain sebaliknya, meningkatkan martabat Islam dalam menyebarkan syiar dan menjelaskan keindahan agama ini kepada dunia. Kekuatan serta kejayaan membolehkan umat melakukan perubahan di bumi ini berlandaskan al-Quran dan sunnah. Islam adalah agama sempurna memberi panduan lengkap untuk manusia melalui kehidupan sempurna kerana setiap makhluk mempunyai tugas serta tanggungjawab bukan saja pada diri, juga kepada makhluk lain.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url