Minyak, kos dan pendapatan
Kesannya amat ketara kerana ramai yang mengeluh dan tidak kurang yang menghentam kerajaan. Meskipun kerajaan telah menurunkan harga minyak sebanyak lima kali, namun kebanyakan harga barang masih tidak diturunkan.
Siapa yang harus dipersalahkan dalam situasi kini? Adakah kerajaan tersilap langkah kerana menaikkan harga minyak secara mendadak pada Jun lepas? Atau peniaga, pemborong dan pengeluar sengaja memberi alasan peningkatan kos operasi? Atau pengguna itu sendiri tidak menggunakan "kuasa" mereka sebagai nadi dalam menentukan permintaan pasaran? Saya percaya ramai yang menjurus ke arah peniaga.
Peniaga sebegini tahu dan terus mengambil kesempatan kerana mereka mengetahui rakyat tetap membeli daripada mereka walau apa keadaan sekalipun kerana ia barangan keperluan harian.
Kerajaan harus meningkatkan lagi kempen turun harga meliputi seluruh negara dan jangan hanya menyalahkan peniaga yang tidak ikut arahan atau rakyat tidak menjadi pengguna yang berhemah. Kerana kita sedar bukan mudah untuk memastikan golongan peniaga ini akur dengan permintaan kerajaan dan rakyat.
Rakyat dan persatuan-persatuan pengguna juga harus memainkan peranan sebagai pengguna yang lebih agresif. Jika tidak maka sia-sialah hasrat kerajaan untuk membantu meringankan beban yang sedang rakyat tanggung melalui penurunan harga minyak sebanyak lima kali.
Selain itu, saranan meletakkan harga lantai petrol memandangkan harga minyak dunia kian merudum atau masih di paras rendah adalah satu tindakan yang harus dipertimbangkan lagi. Dan kalau boleh harus ada "harga lantai" atau harga tetap maksima juga sekiranya harga minyak melambung naik di masa depan.
Apabila harga lantai ditetapkan pada RM1.92 sedangkan harga minyak merudum seolah-olah ia cuba menyekat hak rakyat untuk menikmati harga yang lebih baik. Namun jika kerajaan melaksanakan langkah tersebut maka kempen turun harga harus dipergiatkan lagi demi memastikan rakyat tidak terlalu tertekan dalam menampung perbelanjaan seharian.
Sekiranya harga minyak berada pada tahap yang jauh lebih tinggi seperti yang telah berlaku beberapa bulan lalu, pastinya kerajaan akan "merungut" kerana terpaksa memberi subsidi yang lebih banyak. Dan dalam kedua-dua situasi ini (minyak naik atau turun) rakyatlah yang menerima bebannya.
Jadi adalah tidak relevan jika situasi harga minyak terus turun kerajaan menyekat apa yang sepatutnya rakyat nikmati. Mungkin ada pendekatan lain yang harus difikirkan oleh kerajaan agar memberi kebaikan kepada semua pihak.
Skim subsidi kepada pemilik kenderaan termasuk motosikal yang telah mencecah RM2.5 bilion seperti yang diumumkan kurang efektif kerana tekanan akibat kos-kos lain yang meningkat masih dirasai oleh majoriti rakyat. Sudah tentu ramai beranggapan bahawa kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak secara mendadak sehingga 40 peratus pada Jun lalu semata-mata rungutan atas subsidi yang semakin tinggi.
Meskipun harga minyak sudah jatuh ke paras sekitar USD55 setong jika dibandingkan sebelum kenaikan itu, kerajaan dilihat agak lambat untuk mengembalikan pada harga lama atau lebih rendah.
Menaikkan
Pasti ramai berpendapat jika kerajaan mengambil langkah tidak menaikkan harga sedrastik itu atau sekadar beberapa sen (mungkin 10 sen) saja pada Jun lalu maka tidak timbul isu peniaga menaikkan harga begitu tinggi (sehingga 40% kenaikan). Dan sudah pasti kerajaan tidak risau harga yang boleh membebankan pengguna dan terpaksa membuat kempen yang pastinya menelan kos kerajaan.
Kos harga barang dan sara hidup masih tidak berubah ekoran kedegilan peniaga yang belum menurunkan harga. Kebiasaanya harga barang pasti naik seiring kenaikan harga minyak dan kerajaan serta rakyat mengetahui hal tersebut.
Namun amat jarang kita temui harga barang boleh turun semula meskipun harga bahan api itu telah jatuh. Trend menunjukkan peningkatan dari tahun demi tahun. Mungkin ada yang buat penurunan tetapi terlalu sedikit. Apapun, jika masih ada peniaga yang ingkar menurunkan harga maka kerajaan harus memandang serius perkara ini dan segera membuat pemantauan dan penguatkuasaan atau tindakan.
Jangan biarkan rakyat terus hilang 'harapan' terhadap kerajaan dan sentimen ini akan dipolitikkan oleh pihak tertentu. Realitinya rakyat acapkali menanggung bebanan apabila melibatkan isu minyak dan harga barang.
Wawasan 2020 yang kita canangkan semakin dekat. Masalah kegawatan ekonomi global dan pelbagai isu yang lain mungkin akan menjejaskan kerancakan ekonomi kita. Dan cabaran ekonomi global di masa hadapan mungkin lebih getir.
Justeru, kerajaan perlu kreatif memikirkan langkah lain yang lebih terkini, proaktif, mesra pengguna serta mekanisme terbaik untuk meningkatkan tahap ekonomi. Ianya haruslah diadunkan dengan elemen yang logik, efektif dan berterusan.
Jika perkara ini dititikberatkan (pendapatan rakyat) maka masalah ini boleh diatasi. Malah kemiskinan tegar akan dapat dikurangkan dan jurang ekonomi akan dirapatkan. Rakyat boleh hidup lebih mewah dan selesa.
Pengguna, peniaga dan kerajaan tidak lagi perlu menuding jari jika kenaikan harga minyak atau harga barang atau kos sara hidup yang pastinya kian meningkat pada masa depan.