Minyak saja tak mampu turunkan harga barang

Dalam tempoh lima bulan, kerajaan sudah menurunkan harga runcit minyak RON97 sebanyak lima kali daripada RM2.70 seliter kepada RM2.00 seliter. Penurunan sebanyak 26 peratus ini sepatutnya diikuti pula dengan penurunan harga barangan lain, tetapi ini tidak berlaku. Kenapa?

Ini yang dikatakan harga barangan sukar turun tetapi sebaliknya mudah naik, lebih cenderung untuk naik daripada turun. Ketidaksempurnaan pasaran berikutan tahap persaingan yang rendah dan kuasa monopoli atau oligopoli membawa kepada tingkah laku pasaran yang tidak sihat.

Inflasi Oktober 2008 mula reda

Dalam perkembangan lain pula, kadar inflasi bulan Oktober 2008 mulai reda iaitu 7.6 peratus berbanding 8.5 peratus pada bulan September 2008. Kadar ini masih lagi tinggi secara relatif tetapi paras lebih rendah itu menunjukkan tekanan inflasi semakin berkurangan.

Kadar 7.6 peratus ini berlaku kerana peningkatan harga makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 12.1 peratus, pengangkutan 13.9 peratus, minuman alkohol dan tembakau 8.3 peratus serta restoran dan hotel 6.6 peratus.

Kenaikan ini berlaku kerana secara metodologi, indeks harga bulan Oktober 2008 dibandingkan dengan indeks harga bulan Oktober 2007 yang rendah.

Jika dibanding dengan indeks harga Oktober 2008 dengan indeks September 2008, kadar inflasi turun 0.4 peratus dengan indeks makanan dan minuman bukan alkohol hanya meningkat 0.2 peratus, indeks pengangkutan turun 3.6 peratus, indeks minuman alkohol dan tembakau turun 0.1 peratus, indeks komunikasi serta indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain tidak berubah.

Walaupun harga makanan hanya naik 0.2 peratus berbanding bulan September 2008, masyarakat umum masih tidak berpuas hati. Mereka mengharapkan harga makanan diturunkan kerana harga minyak sudahpun diturunkan.

Sesetengahnya menyalahkan kerajaan kerana harga barangan keperluan tidak turun. Orang ramai mungkin tidak sedar bahawa kerajaan hanya mengawal lapan jenis barangan keperluan seperti beras, gandum, minyak masak dan roti, sedangkan banyak lagi barangan lain yang tidak dikawal. Barang kawalan sebanyak 25 jenis dikawal hanya ketika musim perayaan.

Inisiatif kerajaan untuk turunkan harga

Menyedari harapan rakyat ini, kerajaan sudah mengambil inisiatif untuk menggesa peniaga supaya menurunkan harga. Kerajaan tidak boleh memaksa kecuali untuk barangan yang dikawal. Tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menetapkan harga barangan lain. Malah, menjadi dasar kerajaan untuk terus meliberalisasikan aktiviti ekonomi.

Menyahut seruan kerajaan, pasar raya besar bekerjasama menurunkan harga pelbagai barangan dan rakyat menarik nafas lega. Umpamanya, sebuah rangkaian pasar raya utama menurunkan harga 1,200 jenis barangan keperluan sehingga 30 peratus daripada harga asal yang membabitkan 90 cawangan di seluruh negara.

Ini diikuti sebuah rangkaian pasar raya lain yang melancarkan 'Kempen Penurunan Harga' membabitkan lebih 50 jenis barang keperluan harian sehingga 47 peratus daripada harga asal di 26 cawangannya.

Terbaru, sebuah lagi rangkaian pasar raya dengan lima cawangan turut mengurangkan harga lebih 1,000 barang sehingga melebihi 60 peratus. Kerajaan juga sedang berdialog dengan beberapa pasar raya lain supaya turut menyertai kempen penurunan harga.

Sesetengah pasar mini, kedai runcit, restoran, kedai makan dan peniaga lain juga dikatakan turut menurunkan harga untuk tidak kehilangan pelanggan. Di antaranya, dua persatuan pengusaha restoran Malaysia yang mewakili kira-kira 4,500 ahli termasuk 200 di Lembah Klang menurunkan harga nasi kandar, roti canai dan teh tarik.

Namun, sesetengah pihak kurang menyambut baik penurunan harga itu kerana dikatakan tidak membabitkan barang keperluan utama. Sebaliknya, penurunan harga termasuklah barang bukan keperluan seperti tisu, peralatan mandi, keju dan sebagainya.

Hakikatnya, pasar raya besar tertentu turut menurunkan harga barangan keperluan yang menurunkan harga beras sebanyak 14 peratus, bawang besar merah (20 peratus), daging tempatan (22 peratus) dan bawang putih (25 peratus).

Sebab harga masih tidak turun

Kedai runcit pula terus mengekalkan harga barang di paras yang tinggi dengan alasan mereka juga membeli barangan secara runcit. Mereka tidak mendapat faedah pembelian secara pukal seperti pasar raya besar dan pemborong.

Pengguna di kedai runcit sebegini pula membuat pembelian dalam kuantiti yang kecil dan kadang-kadang secara hutang melalui buku kecil 555. Ini popular di kawasan kampung dan pedalaman serta di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Dalam kes ini, harga cenderung untuk kekal tinggi.

Sesetengah pengeluar dan pemborong juga berpakat menentukan harga terutama dalam keadaan pasaran yang tidak sempurna. Sukar untuk pihak tertentu yang baru menembusi rangkaian pengedaran ini kerana wujud halangan oleh pihak tertentu.

Malah ada juga pengedar, pemborong dan peruncit yang memanipulasi harga tanpa memikirkan kebajikan pengguna.

Dalam hal ini, pengguna perlu menggunakan kuasanya sebagai pembeli. Persatuan pengguna seperti Fomca boleh memacu pembeli untuk menjadi pengguna bijak yang berupaya menghantar isyarat berkesan kepada peruncit.

Pengguna perlu menjadi mata dan telinga kerajaan mengenai aktiviti yang boleh menjejaskan bekalan seperti kegiatan menyorok, penipuan sukat, timbang dan lain-lain.

Selain itu, pengguna harus sedar walaupun kerajaan sudah memansuhkan cukai import untuk barang makanan, kenaikan nilai mata wang Amerika Syarikat berbanding ringgit dan mata wang lain menyebabkan harga barang import, terutama barang makanan, terus kekal tinggi.

Umpamanya, dolar Amerika Syarikat meningkat sebanyak 10.5 peratus berbanding ringgit sejak 1 Ogos 2008.

Langkah seterusnya

Sementara itu, kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah untuk menurunkan harga barangan. Antaranya kerajaan berjaya berunding dengan pemegang konsesi lebuh raya swasta supaya kadar tol lebuh raya dikurangkan dan hasilnya, tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) akan diberi diskaun 10 peratus bermula 1 Januari 2009 hingga akhir 2010 bagi perjalanan antara 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Kerajaan juga menimbang untuk menggubal Akta Dagangan Adil sebagai langkah membendung ketidaksempurnaan pasaran yang mungkin tidak terkawal. Yang penting, kerajaan sudah berusaha sebaik mungkin untuk menurunkan harga barangan keperluan yang masih kekal tinggi.

Siapa harus dipersalahkan bila harga tidak turun? Fikir-fikirkanlah....
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url