Muslihat skim piramid kaburi mata orang ramai

Kita ikuti satu surat yang disiarkan di ruangan Forum Utusan Malaysia.

Saya amat terpanggil untuk mengulas isu skim piramid yang disiarkan pada 12 November 2008. Sudah lama saya ingin berkongsi dengan orang ramai tentang pandangan saya ini. Teman sepejabat saya (kakitangan kerajaan) telah menyertai skim ini pada tahun 2007.

Seperti umum tahu apabila ingin menyertai skim ini apa yang paling penting adalah membuat pinjaman. Setelah wang di tangan peserta, hendaklah membayar bagi mendapatkan sepuluh set barang. Barang tersebut hanyalah untuk mengaburi mata orang ramai yang kononnya ini adalah benar-benar perniagaan. Selain itu, mereka dikehendaki membeli produk kesihatan yang dikeluarkan oleh syarikat tertentu untuk maintain.

Dalam satu minggu mereka akan mengadakan perjumpaan (kelas) kononnya untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka. Kelas biasanya berakhir sebelum pukul 12 tengah malam tetapi selepas itu mereka akan berkumpul di kedai makan sehingga pukul 3 atau 4 pagi bercampur antara lelaki dan perempuan tidak kira bujang ataupun yang sudah berumah tangga.

Apabila masuk pejabat keesokan harinya mata pun mengantuk. Rakan saya ini dapat membuktikan kepada orang ramai bahawasanya dia telah berjaya. Daripada berbasikal ke tempat kerja, dia dapat memiliki sebuah kereta yang agak mewah. Apabila rakan-rakan lain bertanya, dia dengan bangganya mengatakan bahawa itulah hasil yang diperolehnya. Kononnya dibeli dengan bonus yang diperoleh.

Tetapi sebenarnya beliau membuat pinjaman peribadi untuk membayar wang pendahuluan kereta tersebut. Semua ini dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai yang kononnya perniagaan tersebut dapat memberikan pulangan yang besar. Kadangkala saya berasa kasihan melihat mangsa- mangsanya yang mudah sangat mempercayai kata-kata mereka.

Ingatlah bukan senang untuk hidup senang tanpa usaha yang gigih. Janganlah kita mudah tertipu dengan skim sebegini.

YANG SIMPATI
KUALA LUMPUR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url