Kadar pengangguran hanya empat peratus - Menteri Kewangan II

Kadar pengangguran akan berada pada kadar empat peratus atau lebih rendah pada tahun ini, walaupun perniagaan kian mengecil disebabkan kemelesetan ekonomi global, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Kita sepatutnya berada pada kadar itu. Ia tidak akan lebih tinggi daripada kadar itu. Ini kadar yang boleh diuruskan. Kita perlu berusaha gigih untuk mengekalkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kadar pengangguran negara pada tahun depan juga akan dipertahankan pada kadar berkenaan.

Katanya, dana latihan RM300 juta yang diumumkan di bawah pakej rangsangan RM7 bilion yang diumumkan baru-baru ini boleh meminimumkan sebarang pengangguran, selain meningkatkan kemahiran pekerja.

Mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing, Nor Mohamed berkata, ada syarikat tidak mencapai sasaran berkenaan.

"Ini lumrah dalam sesuatu keadaan sukar," katanya.

Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata, sejak tempoh KPI ditetapkan pada 2004, banyak sasaran dicapai GLC.

Beliau berkata, syarikat pegangan GLC berkenaan, Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd, sedang menilai prestasi pengurusan syarikat terbabit.

"Sudah tentu mereka boleh mengambil kira keadaan luaran," katanya. Nor Mohamed berkata, mereka perlu bertanya soalan kenapa pengurusan itu tidak mencapai sasaran KPI.

"Adakah ia disebabkan kurang kesanggupan, daya agresif, keupayaan untuk menyesuaikan dengan keadaan dengan segera atau disebabkan perubahan ketara keadaan luaran?

"Kita perlu tanya satu lagi soalan sebelum memutuskan sama ada CEO (ketua pegawai eksekutif) menunjukkan prestasi baik atau tidak. Kita perlu kaji sebab berkenaan," katanya. – Bernama

"Kita telah melihat pemotongan waktu bekerja dan bonus di Pulau Pinang tetapi tiada pemberhentian kerja besar-besaran berlaku lagi," katanya.

Nor Mohamed berkata: "Dua cabaran dihadapi kerajaan dalam krisis ialah untuk memastikan kerajaan dapat mewujudkan pekerjaan bagi kesemua rakyat dan memastikan pengaliran kredit perniagaan.

"Kita perlu memastikan mereka yang sedang bekerja kekal di tempat kerja masing-masing dan pelajar yang tamat pengajian dapat mencari pekerjaan kemudian kelak."

Ketika ditanya sama ada tahap pembuangan pekerjaan akan menjadi lebih buruk daripada semasa Krisis Kewangan Asia 1997/1998, beliau berkata: "Saya tidak merasa sedemikian.

"Krisis yang dulu itu berbeza. Ia mengejutkan kita. Krisis itu berlaku terlalu cepat yang mana pasaran saham dan nilai ringgit merudum sambil keyakinan merosot. Berlaku kegelutan pada waktu itu.

"Krisis yang terakhir itu, perbankan runcit menerima kesan buruk dan turut berlaku krisis mata wang. Kali ini, perbankan runcit tidak menerima kesan dan tidak berlaku krisis mata wang. Kita mempunyai lebih banyak masa untuk membuat perancangan. Kita menerima banyak petunjuk awal untuk membuat persediaan."
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url