Pelajar UPSR Terengganu Cemerlang


Persaingan sesama sendiri membuahkan hasil bagi kembar tiga dan kembar dua seiras yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak di Kuala Terengganu apabila kesemua mereka mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Nurfazlina, Nurfazliza dan Nurfazlin Mohd. Naim serta Syed Mursyiddin dan Syed Mustaqeem Syed Ahmad mencipta sejarah tersendiri bagi sekolah berkenaan apabila menjadi lima pelajar kembar memperoleh 5A sekali gus dalam UPSR.

Mereka merupakan sebahagian daripada 3,408 calon UPSR negeri ini yang memperolehi keputusan cemerlang 5A.

Nurfazlina sebagai kakak sulung berkata, mereka bertiga sering membandingkan keputusan masing-masing semasa peperiksaan di sekolah sebagai motivasi sesama sendiri.

Menurutnya, ada kalanya adik-adiknya mendapat tempat lebih baik dalam peperiksaan dan ada kalanya dia mendahului mereka.

''Apa pun kami gembira kerana masing-masing boleh berbangga dengan keputusan 5A dalam UPSR," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Nurfazliza dan Nurfazlin, keputusan serupa yang dicapai mereka bertiga adalah hasil mengulangkaji bersama ibu mereka, Fauziah Ibrahim, 49, di rumah selain mengikuti tuisyen.

''Kami bertiga mengikuti tuisyen yang diberikan guru di sekolah dan pada hujung minggu ibu akan membantu kami mengulangkaji pelajaran," ujarnya.

Sementara itu, pasangan kembar Syed Mursyiddin dan Syed Mustaqeem gembira kerana dapat membuktikan kepada keluarga dan rakan-rakan bahawa mereka sama 'handal' dalam pelajaran.

''Kami sangat gembira kerana berjaya memperoleh 5A. Kejayaan ini adalah hasil usaha dan dorongan ibu bapa kami," ujar mereka.

Dalam pada itu, anak Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan anak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, Muhammad Ramli Noh turut berkongsi kegembiraan apabila mencatat keputusan 5A dalam UPSR kali ini.

Mereka ialah Nur Afifah dan Siti Rumizah Zakiah yang bersekolah di SK Sultan Sulaiman II di sini.

Kedua-duanya merupakan antara 42 murid yang memperoleh 5A di sekolah berkenaan.

Sebanyak 3,408 atau 14.4 peratus daripada 24,130 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini berjaya memperoleh keputusan terbaik iaitu 5A dan 7A yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, dengan keputusan itu Terengganu masih mencatatkan pencapaian cemerlang dan memberangsangkan dalam UPSR kali ini meskipun terdapat penurunan dalam beberapa subjek.

Menurutnya, jumlah calon yang memperoleh 4A 1B dan 6A 1B pula adalah seramai 2,056 orang atau 8.5 peratus.

''Seramai 11,025 calon memperoleh 5ABC dan 7ABC manakala seramai 16,561 calon pula mendapat minimum C dalam semua subjek.

''Dengan pencapaian ini, nilai gred purata negeri (GPN) berada pada tahap 2.24," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bagi keputusan subjek Bahasa Melayu Pemahaman, seramai 23,702 calon mengambil kertas itu dan 11,673 calon memperoleh A.

Bagi pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Bahasa Inggeris pula katanya, seramai 14,867 dan 5,887 calon mendapat gred A.

Menurutnya, seramai 7,393 calon mendapat A dalam subjek Matematik manakala 5,249 calon pula mendapat A bagi subjek Sains.

Kesemua calon UPSR Terengganu dari 349 buah sekolah termasuk 523 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menduduki peperiksaan itu di 381 pusat peperiksaan yang disediakan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url