Senarai harga barang terpilih di laman web

Kerajaan akan menyenaraikan harga barang setiap pasar raya terbabit dalam Kempen Penurunan Harga Barang di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga ketika berbelanja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata penyenaraian harga barang terpilih itu dilakukan di laman web kementeriannya (www.kpdnhep.gov.my) dan dikemas kini setiap minggu.

Katanya, Majlis Harga Barang Negara (MHBN) akan melaksanakan pemantauan harga barang di semua pasar raya dengan hasil kajiannya akan dipamerkan di laman web kementerian sebagai panduan orang ramai.

“Kami akan memulakan proses pemantauan serta penyenaraian itu pada masa terdekat dan kami berharap langkah berkenaan akan membolehkan orang ramai membuat perbandingan seterusnya mengamalkan sikap berbelanja dengan bijak.

“Bagaimanapun, suka dinyatakan barang dijual di semua pasar raya menerusi Kempen Penurunan Harga Barang ini cukup murah dan tidak membebankan rakyat, walaupun ada perbandingan harga dibuat,” katanya selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga Barang oleh Pasar raya Mydin di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin.

Mydin menjadi pasar raya ketiga menyahut seruan kerajaan supaya harga barang keperluan diturunkan selaras penurunan harga petrol dan diesel. Sebanyak 200 produk antaranya sayur-sayuran, ikan, ayam, produk kesihatan dan makanan kering diturunkan harganya.

Pasar raya The Store yang juga melancarkan Kempen Penurunan Harga Barang pada hari sama, turut mengambil inisiatif sama dengan menurunkan harga sehingga 50 peratus terhadap 1,500 jenis barang di 75 cawangannya.

Sementara itu, pada sidang media majlis perasmian Kempen Penurunan Harga Barang oleh The Store di Sri Petaling, Shahrir menggesa pengusaha pasar raya membantu kerajaan dengan mengembangkan perniagaan ke kawasan luar bandar supaya masyarakat di sana turut menikmati penurunan harga barang.

“Mereka boleh membuka perniagaan berkonsepkan pasar rakyat yang menjual barang secara borong kepada peruncit atau pengguna di mana harganya sudah tentu rendah kerana mempunyai kepakaran dalam mengurangkan kos pengangkutan yang menjadi penghalang utama dalam mengurangkan harga barang di luar bandar.

“Jadi, peruncit di luar bandar tidak perlu lagi menurunkan kos tambahan (kos pengangkutan) kepada pengguna kerana membelinya dengan harga murah daripada pasar rakyat dikendalikan syarikat swasta,” katanya.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • jazrul
    jazrul Khamis, 30 Julai 2009 pada 4:15:00 PTG SGT

    bagus la kalau ada penurunan harga

    Malaysia Web Design

Add Comment
comment url