Asas pelaburan dalam bon

Mungkin ramai yang pernah membeli bon yang ditawarkan firma pengurusan saham amanah, namun mungkin ramai juga tidak tahu apa sebenarnya bon dan bagaimana ia memberi kesan ke atas portfolio pelaburan anda.

Apa itu bon?

Bon adalah akujanji hutang diterbitkan badan kerajaan atau syarikat. Dengan melabur dalam bon, anda sebenarnya berperanan sebagai pemberi pinjaman manakala badan kerajaan atau syarikat yang menerbitkan bon adalah peminjam.

Sebagai balasan, penerbitnya akan membayar faedah tetap (dikenali sebagai kadar kupon) bagi sepanjang tempoh pinjaman dan memulangkan jumlah pokok yang dipinjam apabila ia matang.

Contoh bon ialah Bon Simpanan Merdeka 2008 diterbitkan Bank Negara Malaysia untuk warga emas.

Di Malaysia, ada dua jenis bon iaitu bon kerajaan dan bon korporat. Bagi bon kerajaan, penerbitnya ialah kerajaan, Bank Negara Malaysia dan institusi separuh kerajaan.

Bon korporat dan sekuriti bersandarkan aset pula diterbitkan Cagamas Bhd, institusi kewangan dan syarikat bukan kewangan.

Pelabur utama bon di Malaysia ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana pencen, syarikat insurans dan institusi kewangan lain.

Harga bon dipengaruhi pelbagai faktor, dan antara yang paling penting ialah kadar faedah, inflasi, tarikh matang dan kualiti kredit.

Kadar Faedah

Bon mudah dipengaruhi turun naik kadar faedah. Jika kadar faedah naik ke paras lebih tinggi berbanding kadar kupon bon, maka harga bon akan turun ke paras lebih rendah berbanding nilai pokoknya.

Inflasi

Dalam keadaan ekonomi berkembang pesat, inflasi lazimnya turut naik. Kenaikan ini lambat laun akan menyebabkan kenaikan kadar faedah dan menyebabkan nilai bon jatuh.

Tempoh Matang

Berikutan bon adalah instrumen yang mudah dipengaruhi turun naik inflasi, bon jangka panjang selalunya berdepan ketidakpastian lebih ketara berbanding bon jangka pendek.

Kualiti Kredit

Sudah menjadi lumrah bahawa hutang perlu dibayar. Justeru kredibiliti dan kualiti kredit penerbit bon adalah penting dalam menentukan harga bon kerana ia dapat membantu pelabur membuat keputusan berkaitan pembelian bon.

Pulangan daripada bon korporat selalunya lebih tinggi berbanding bon kerajaan disebabkan risikonya yang lebih tinggi.

Kenapa labur dalam bon?

Pelaburan bon menawarkan alternatif kepada pelabur dalam mempelbagaikan portfolio pelaburan kerana bon membabitkan risiko rendah berbanding saham.

Berikutan bon menawarkan pulangan dalam bentuk faedah tetap secara berkala dan pembayaran balik jumlah pokok apabila sampai tarikh matangnya, ia adalah instrumen sesuai jika matlamat pelaburan ialah mengekalkan wang pokok dan mendapatkan pulangan konsisten.

Bergantung kepada tempoh masa pelaburan, bon yang boleh dipertimbangkan merangkumi bon jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Namun, dalam membuat pilihan, anda perlu memahami faktor yang mempengaruhi harga bon yang mahu dibeli. Bagaimanapun pembabitan pelabur runcit dalam bon lazimnya terhad kepada pelaburan dalam dana bon yang ditawarkan melalui unit amanah.

Dana bon adalah kombinasi beberapa jenis bon berbeza, maka risikonya adalah lebih rendah berbanding pelaburan dalam satu bon saja.

Anda juga perlu mendapatkan maklumat secukupnya syarikat pengurusan dana terbabit seperti rekod prestasi dan pengalaman mereka.

Pastikan juga pendekatan pelaburan mereka bersesuaian dengan profil risiko dan matlamat pelaburan anda.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url