Islam beri kebebasan wanita untuk maju

Mendirikan sebuah rumah, tidak mungkin mampu jika tidak ada tiangnya. Begitu juga untuk menegakkan agama, tidak mungkin terpacak jika tidak ada tiangnya. Demikian untuk membangunkan sesebuah negara mesti bermula dengan menyediakan tiangnya.

Tiang bagi negara ialah wanita. Sesuai seperti yang dikatakan oleh pepatah, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Tegaknya rumah kerana ada tiangnya. Kuat agama kerana ada solatnya. Kukuh negara pada wanitanya. Oleh itu, negara perlukan sebuah tiang yang baik dan kuat. Cendekiawan ada berkata, tiang negara yang baik ialah terasnya iman, kayunya lslam. Tiang yang buruk terasnya nafsu, kayunya syaitan.

Islam melihat pentingnya fungsi wanita dalam pembangunan sesebuah negara. Ini jelas dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wanita itu tiang negara. Rosak wanita rosaklah negara."

Wanita yang kental jiwa bukan saja dapat menyelamatkan dirinya tetapi juga bangsa dan negara. Pujangga tersohor, Muhammad Iqbal pernah berkata:

"Wahai dikau kelumbungnya menjadi hijab yang memelihara kehormatan kami, suatu rahmat bagi kami, kekuatan agama kami, asas umat kami. Bibir putera kami meneguk susu di dadamu sejak mulanya belajar menyebut 'La ilaha ilallah'. Cintamu yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami. Panahan kilat yang beradu dalam awanmu berkemilau di gunung menyapu tanah pamah."

Demikian cetusan dan gambaran ideal dengan nukilan indah dan tepat di lukiskan pujangga Iqbal mengenai wanita. Pada sebahagian nukilan lain, Iqbal menulis: "Sebahagian tubuh yang lampai berdada pipih berbaju ketat dengan kerling mata mempesonakan. Fikirannya gilang-gemilang dengan cahaya tamadun Barat, zahirnya berupa wanita, batinnya bukan wanita. Ia telah memusnahkan tali ikatan yang memelihara."

Lantaran itu, lelaki harus perkasakan diri bagi menjunjung syariat dengan ilmu dan hikmah untuk memayungi wanita daripada segala tohmahan dan fitnah atau menegakkan wanita daripada jatuh terkulai dan meluruskan bengkoknya daripada bercakaran.

Dengan segala kelemahan, sebenarnya wanita perlukan pimpinan dan bimbingan, namun sesuatu kepemimpinan tidak mungkin sempurna tanpa wanita.

Lelaki dan wanita dijadikan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Islam membahagikan hak dan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita bersama- berganding bahu memikul amanah serta tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Islam tidak mendiskriminasikan antara lelaki dan wanita malah memberi hak dan tanggungjawab sesuai dengan fitrahnya. Lelaki dengan risalah kepemimpinan sementara wanita dengan kelembutan menunai risalah keibuan.

Perbezaan hak antara lelaki dan wanita sudah dijamin oleh Islam. Pembahagian itu untuk menyelaraskan kerja bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar berjaya dan maju.

Namun, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya diizinkan Allah bagimu iaitu wanita keluar rumah untuk sesuatu hajat yang sebenar yang tiada maksiat."

Wanita bukan sekadar berperanan di dapur dan menjaga rumah tangga saja. Dunia Barat menganggap Florence Nightingale sebagai pelopor jururawat sedangkan hal demikian sudah dipraktikkan oleh wanita sebelumnya.

Catatan sejarah menulis bahawa pada abad ke-15, dunia Barat mengenali Joannne D'Arch sebagai pahlawan, malah beberapa wanita ditonjol sebagai pahlawan kerana keberaniannya, jasa serta ketokohan dan pengabdian kepada masyarakat.

Hakikatnya, wanita Islam adalah perintis utama kebebasan, kecerdasan, kemajuan, keunggulan dan ketamadunan dalam sejarah kerana wanita Islam pada abad ketujuh Masihi sudah memainkan peranannya seperti dalam Perang Khaibar serta Khandak.

Wanita Islam bukan saja terkenal dalam kegiatan kepahlawanan tetapi juga dalam aspek lain seperti pada zaman Abbasiyah muncul Siti Zubaidah berperang di samping suaminya Harun al-Rasyid. Ummul Fadha dan Fakrun Nisaa' pula adalah antara dua orang sarjana berpengetahuan yang tiada tandingan.

Tamadun dulu sudah menunjukkan peranan wanita bukan sekadar menjaga suami serta mengasuh anak saja. Peranan wanita melebihi tugasan itu sesuai dengan fitrah kejadian mereka serta sifat semula jadi yang dimiliki untuk bersama membina peradaban.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url