Penswastaan IJN tidak membawa sebarang kebaikan
IJN ialah institusi negara yang penting. Peranan dan kepentingan IJN memang tidak dapat dinafikan lagi. Semenjak penubuhannya pada September 1992, IJN telah melakar pelbagai sejarah, bukan sahaja dalam negara, malahan di peringkat antarabangsa.
Hari ini, IJN dilihat sebagai salah satu institusi terkemuka yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti pengubatan, rawatan, pengajaran dan penyelidikan penyakit berkaitan jantung. Setiap kali berada di IJN, pasti kita dapat melihat pesakit yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Malah, doktor-doktor dari luar negara juga ramai yang "ditempatkan" di IJN untuk mempelajari pengalaman institusi ini.
Saya mula mengenali IJN pada tahun 1998. Ketika itu, IJN menjalankan program-program berkala mengenai pendermaan organ kepada kakitangan perubatan seperti jururawat dan paramedik. Saya sering dijemput untuk mengisi salah satu slot program-program berkenaan.
Kemudian, apabila ayah saya sendiri menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2003, IJN menjadi semakin hampir dengan diri saya. Dari sini, saya melihat sendiri tahap profesionalisme yang ditunjukkan oleh warga kerja di institusi ini.
Seterusnya, pada 2005 semasa salah satu program berkala mengenai pendermaan organ yang saya terlibat sama, saya berpeluang bertemu dengan Muhammad Fikri Norazmi yang ketika itu baharu sahaja menjalani pembedahan memasang alat IVAD. Melalui pembedahan ini, IJN melakar sejarah menjadi institusi pertama di rantau ini yang menjalankan prosedur tersebut.
Selain itu, IJN juga banyak melakukan pembedahan-pembedahan bersejarah yang belum pernah dilakukan di negara ini. Kejayaan-kejayaan ini melonjakkan nama IJN ke tahap yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.
Justeru, apabila saya membaca mengenai syor Sime Darby mengambil alih IJN, hati saya menjadi kurang senang. Apakah menerusi penswastaan IJN, institusi ini bakal menjadi lebih cekap dan mesra pelanggan (dalam hal ini pesakit)? Apa pula jaminan yang boleh diberikan bahawa kos rawatan tidak akan melambung?
Sanggupkah Sime Darby - sebuah entiti berasaskan keuntungan - menanggung kos-kos rawatan dan ubat-ubatan yang disubsidi oleh kerajaan untuk pesakit terdiri daripada kakitangan kerajaan dan golongan berpendapatan rendah? Jika kerajaan terus menanggung kos-kos subsidi ini, tidakkah ini sama sahaja dengan kerajaan mengekalkan IJN sebagai badan berkanun seperti hari ini?
Banyak soalan yang boleh diajukan mengenai cadangan penswastaan ini. Bagi mereka yang hampir dengan IJN - terutamanya pesakit dan ahli keluarga sudah tentu cadangan itu mengundang kebimbangan.
Ada yang menyatakan bahawa penswastaan IJN bertujuan memberikan para doktor dan warga kerja di situ pakej gaji yang kompetitif setanding dengan hospital swasta. Ini dapat mengelakkan proses "aliran keluar" tenaga mahir sama ada ke hospital swasta ataupun ke luar negara terutamanya Asia Barat.
Bagaimanapun, tujuan asal IJN diwujudkan sebagai badan berkanun adalah untuk mengeluarkan IJN daripada birokrasi kerajaan yang terikat dengan skim gaji tertentu.
Ini membolehkan IJN mewujudkan skim gajinya yang tersendiri, walaupun mungkin tidak setanding dengan hospital swasta, masih lagi kompetitif berbanding hospital kerajaan yang biasa.
Memang tidak dinafikan ada doktor pakar dan jururawat daripada IJN yang berhijrah keluar namun dari pengamatan peribadi semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak nampak itu menjadi satu masalah besar. Malah, saya lihat lebih ramai doktor pakar dan jururawat baru yang berkhidmat di IJN hari ini.
Tidak kurang juga para doktor pakar dan jururawat yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi bertahun-tahun lamanya di IJN. Pada pandangan saya, mereka ini menaburkan bakti bukan untuk wang ringgit semata-mata, sebaliknya mendapat kepuasan dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka demi memastikan kesihatan pesakit terjaga dan terpelihara.
Pada pandangan saya, lebih wajar bagi Sime Darby (atau mana-mana syarikat sekalipun) menubuhkan hospital pakar jantungnya tersendiri berbanding dengan mengambil alih kepentingan dalam hospital pakar jantung kerajaan yang sedia ada.
Sime Darby sebagai entiti perniagaan yang besar dan berjaya pasti mempunyai kemampuan mendirikan sebuah hospital baharu yang lebih canggih dan lebih hebat.
Dengan menubuhkan hospital pakar jantung swasta, Sime Darby boleh menunjukkan kepada rakyat Malaysia kemampuannya mengendalikan dan menguruskan sebuah hospital pakar dalam rawatan jantung.
Malah, mungkin dengan adanya hospital pakar jantung swasta ini, rakyat Malaysia yang berkemampuan mempunyai alternatif kepada IJN yang kini merawat 150,000 pesakit setiap tahun.
Sekiranya Sime Darby mempunyai hasrat menyumbang kepada pembangunan kesihatan di negara ini, mungkin wajar hospital jantung swasta itu kelak beroperasi di luar Kuala Lumpur, memandangkan tidak ada hospital pakar khusus yang terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia.
Atau, sekiranya Sime Darby tidak berhasrat membina hospital pakar jantung swasta tetapi berminat menjalankan tanggungjawab sosial korporat, mungkin syarikat ini (dan syarikat-syarikat lain) boleh menyumbang terus kepada IJN ke arah membantu meringankan kos yang ditanggung oleh kerajaan.
Walau apa sekalipun, IJN perlu dikekalkan dalam bentuk sedia ada. Memang masih banyak ruang penambahbaikan dari segi perkhidmatan dan pengurusan, namun penswastaan bukan jawapan yang dicari bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Penswastaan IJN bakal mengundang lebih banyak masalah daripada memberikan penyelesaian.