Isa optimis BN menang

Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Januari tahun depan, kata Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, pandangan itu dibuat berdasarkan kepada sokongan pengundi-pengundi di sekitar kawasan Parlimen Kuala Terengganu terhadap BN pada pilihan raya umum Mac lalu.

''Saya yakin pengundi-pengundi akan terus menyokong calon BN pada pilihan raya kecil itu bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan Parlimen berkenaan," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Lama Nilai di sini hari ini.

Menurut Mohd. Isa, BN pasti akan meletakkan calon terbaik untuk memenangi kerusi yang pernah disandang Allahyarham Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail sehingga beliau meninggal dunia pada 28 November lalu. Pada pilihan raya umum Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu serta calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

''Kita tidak perlu risau dengan calon pembangkang. Yang penting, calon BN merupakan yang terbaik," katanya.

Beliau memberitahu, perasaan tidak puas hati tidak sepatutnya timbul selepas nama calon yang bakal bertanding diumumkan oleh pucuk pimpinan parti kelak.

Mohd. Isa menambah, semua pihak di dalam UMNO dan BN sewajarnya menerima calon berkenaan dan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi terhadapnya.

''Jangan timbulkan isu calon yang dipilih tidak layak mewakili BN," ujarnya.

Kata beliau, BN pasti kembali mengungguli kerusi Parlimen Kuala Terengganu sekiranya masalah dalaman itu dapat diatasi sebelum hari penamaan calon.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url