Skuad negara sapu tiga kejuaraan Super Masters Badminton


Pemain Malaysia menyapu tiga kejuaraan di Kejohanan Badminton Siri Super Masters Final apabila memenangi perlawanan akhir acara perseorangan lelaki, beregu wanita dan lelaki di Stadium Tertutup Likas semalam.

Jaguh kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei, mengetuai hari cemerlang pemain negara apabila menamatkan kemarau kejuaraan sejak bergelar pemain nombor satu dunia dengan menundukkan jaguh Eropah, Peter Gade dari Denmark 21-7 21-16.

Ibarat mendapat suntikan semangat selepas kemenangan Chong Wei itu, pasangan lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mudah menundukkan beregu nombor dua dunia dari Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, 21-14, 21-18.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula memastikan pemain negara menamatkan musim 2008 dengan penuh cemerlang apabila mengesahkan kejuaraan acara beregu wanita apabila membenam cabaran lawan dari Indonesia, Vita Marissa-Liliyana Natsir 21-15, 22-20.

Kemenangan tiga daripada lima aksi final semalam mengesahkan pemain negara membolot sebahagian besar daripada hadiah lumayan bernilai AS$500,000 (RM1.81 juta) yang ditawarkan di kejohanan tersebut.

Chong Wei membawa pulang hadiah paling besar AS$$40,000 (RM138,900) selaku juara perseorangan.

Juara beregu lelaki dan wanita negara juga tidak kurang lumayan apabila masing-masing meraih hadiah AS$42,000 (RM152,404).

Kemaraan tiga pemain negara ke aksi final semalam menarik lebih 5,000 penonton yang memenuhi Stadium Tertutup Likas.

Ternyata tanpa kelibat jaguh-jaguh China termasuk juara Olimpik, Lin Dan yang menarik diri di saat akhir, kejohanan terakhir musim 2008 berlangsung dengan meriah dan mendebarkan.

Selain hadiah lumayan yang menjadi tarikan di kejohanan penutup musim 2008, aksi bertenaga pemain negara terutama Chong Wei menjadi tumpuan apabila mempamer corak permainan menarik.

Ini kerana pemain yang tewas dalam tiga aksi final sebelum kejohanan di Kota Kinabalu ini tampak begitu yakin dengan corak permainan tenang tanpa perlu beraksi agresif sebelum menang straight set ke atas Gade.

Menurut Chong Wei, selepas menang mudah 21-7 di set pertama, beliau berhati-hati di set kedua kerana sedar Peter pasti bangkit dalam perlawanan berikutnya.

‘‘Walaupun saya tahu akan kemampuannya, saya cukup bersedia untuk beraksi sekali pun jika diheret ke perlawanan penentuan set ketiga. Secara fizikal saya sedia mengharungi perlawanan yang panjang kerana saya banyak berehat selepas Sukan Olimpik.

‘‘Saya tidak menyertai Terbuka Hong Kong semata-mata untuk memberi tumpuan di kejohanan Final Super Siri ini.

‘‘Sasaran saya tahun depan ialah di Terbuka England dan Kejohanan Dunia.

‘‘Selesai kejohanan ini, saya tidak akan menyertai Terbuka Korea kerana mahu memberi tumpuan persediaan sepanjang dua bulan untuk aksi di Terbuka England dan Kejohanan Dunia,” ujarnya.

Sementara itu, acara perseorangan wanita milik pemain Hong Kong, Zhou Mi yang mengalahkan rakan senegara Wang Chen straight set 21-14 21-18.

Beregu campuran Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl mengalahkan pasangan utama dunia dari Indonesia, Nova Widianto-Liliyana Natsir, untuk membawa pulang hadiah AS$$42,000 (RM152,404).

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url