Tidur & Masalah Dengkur

Anda cukup tidur? Bagaimana dengan pasangan atau ahli keluarga anda? Mungkin anda lesu walaupun selepas berjam-jam tidur akibat apnea (aliran udara terhalang), sementara pasangan anda pula lesu kerana melayan alunan dengkur anda sepanjang malam.

Dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada ‘berdengkur tetap’ ataupun ‘berdengkur sambilan’.

Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.

Dengkur juga mengganggu ketenangan percutian dan perjalanan jauh di dalam bas, kereta api mahupun kapal terbang.

Ada juga pasangan yang terpaksa tidur berasingan kerana tidak tahan dengan ‘dengungan’ berpanjangan setiap malam.

Dengkur bukan apnea

Masalah struktur sekitar salur pernafasan biasanya akan menyebabkan dengkur berpanjangan sementara masalah hidung tersumbat, keletihan dan penggunaan ubat tertentu menyebabkan ‘dengkur sambilan’.

Gangguan tempoh dan kualiti tidur penghidap dengkur dan orang di sekelilingnya dalam jangka panjang dikhuatiri membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Tidur tidak cukup atau kurang kualiti mungkin membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok serta gangguan fungsi dan ketahanan badan.

Pakar Bedah dan Perunding Leher dan Kepala (ENT), Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Abd. Razak Rahman Hamzah menegaskan dengkur adalah sesuatu yang hanya berlaku ketika tidur dan ia berbeza berbanding apnea.

“Penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks. Getaran ini seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.

“Apnea pula merupakan halangan penuh salur pernafasan (hidung atau mulut) sehinggakan penghidap berhenti bernafas sekurang-kurangnya 10 saat, berulang kali semasa tidur,” katanya. Menurut beliau, dengkur dan apnea mungkin hadir bersama atau hanya salah satu sahaja.

Tegasnya, bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.

Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.

Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga).

Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang.

Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).

Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).

Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.

Dr. Abd. Razak menjelaskan kira-kira 20 peratus populasi penduduk negara ini mempunyai masalah dengkur.

“Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki dan individu berumur lebih 40 tahun. Namun terdapat juga peratusan kecil penghidap dengkur di bawah umur 30 tahun.

“Mereka yang kuat minum minuman beralkohol dan mempunyai berat badan berlebihan juga lebih mudah berdengkur,” ujarnya.

Jelas beliau, kanak-kanak juga mungkin berdengkur, selalunya berpunca daripada masalah tonsil.

Keluarga

Masalah dengkur turut menjejaskan tidur pasangan serta keluarga penghidap, dan selalunya merekalah yang mengenal pasti masalah tersebut.

Menurut Dr. Abd. Razak, sering kali pasangan penghidap yang mengadu tentang masalah dengkur tersebut sedangkan penghidap sendiri tidak mengakui atau tidak mengaitkan kelesuan serta sering rasa mengantuk dengan masalah dengkur.

“Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana dengkur juga boleh berlaku jika seseorang itu terlalu letih dan juga dengan peningkatan usia. Ini kerana otot dan tisu lembut di sekitar salur pernafasan akan semakin kendur, seterusnya bergetar atau menghalang aliran udara.

“Orang kurus juga boleh berdengkur. Bunyi dengkur yang kuat pula tidak bererti masalah dengkur yang teruk, sebaliknya kehadiran apnea yang menentukan bahaya kepada penghidap,” tegasnya.

Jelas beliau, terdapat bermacam kaedah rawatan ditawarkan untuk mereka yang berdengkur atau mengalami apnea.

Tambahnya, kajian waktu tidur boleh dijalankan di rumah atau hospital, sementara kaedah rawatan mungkin semudah membetulkan posisi tidur dan mengurangkan berat badan, atau mungkin memerlukan pembedahan jika ia teruk atau membahayakan kesihatan.

Rawatan untuk mengurangkan atau menghentikan dengkur juga dapat meningkatkan kualiti tidur pasangan dan keluarga, mengurangkan bilangan ‘muka-muka lesu’ di sekolah dan pejabat.

Dengkur sememangnya bukan sesuatu yang perlu dimalukan, terutamanya dengan satu daripada lima rakyat negara ini berdengkur.

Namun, rawatan perlu dipertimbangkan jika ia mengganggu rehat anda dan keluarga, terutamanya jika dengkur anda diiringi masalah apnea.

Dapatkan maklumat terkini mengenai cara menguji dan merawat masalah dengkur anda melalui internet atau doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Kembalikan kesunyian malam keluarga dan tingkatkan kecergasan pagi anda.

Tidur yang cukup dan memuaskan merupakan sesuatu yang semakin sukar diperolehi di dalam dunia moden yang amat sibuk.

Banyak kajian telah menunjukkan bahaya waktu tidur terlalu singkat sedangkan manusia memerlukan antara tujuh ke lapan jam tidur setiap hari.

Dari kemalangan seperti kemalangan jalan raya, sehinggalah kepada bermacam penyakit lain telah dikaitkan dengan tidak cukup tidur yang kronik (berlarutan).

Kekurangan masa dan kualiti tidur dikatakan menghakis keupayaan dan fungsi badan sehingga mendedahkan kita kepada penyakit jantung, diabetes dan bermacam penyakit lain lagi.

Kualiti tidur juga kini semakin banyak menerima perhatian penyelidik kerana dikhuatiri menjejaskan hidup lebih banyak hidup penduduk dunia berbanding kurang tidur (insomnia).

Antara yang diberi perhatian adalah halangan laluan udara salur pernafasan seperti Apnea Tidur Halangan (OSA) yang boleh menyebabkan penghidap sering terjaga (tersentak) dari tidur atau berhenti bernafas selama 30 saat, berkali-kali setiap malam.

Pakar Sains Neuro (saraf) Universiti Bandar New York, Dr. William Fishbein menjelaskan terdapat juga kaitan antara tempoh dan kualiti tidur dengan daya ingatan seseorang.

Tahap ‘tidur gelombang perlahan’ iaitu tahap tidur yang nyenyak, sebelum seseorang mencapai tahap tidur bermimpi (tahap REM), dikatakan mungkin memainkan peranan penting dalam membantu kita menyelesaikan masalah.

“Mungkin otak manusia terus bekerja dalam tahap gelombang perlahan ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan menimbulkan idea-idea penyelesaian baru (yang tidak difikirkan sebelum tidur),” katanya.

Kajian yang dijalankan Dr. Fishbein mendapati sukarelawan yang hanya tidur pada tahap gelombang perlahan dan tidak bermimpi (tahap REM) secara automatik lebih cekap mengenali huruf-huruf tulisan Cina.

Kumpulan berkenaan dibiarkan tidur (tahap gelombang perlahan) selama 90 minit sahaja tetapi cuma 12 minit tidur pada tahap tersebut didakwa sudah cukup berkesan untuk meningkatkan daya ingatan.

Bagaimanapun, penyelidik dari Universiti California, Los Angeles pula mendapati gangguan tidur, sama ada bunyi luar, kesan usia, dengkur pasangan mahupun OSA akan menjejaskan daya ingatan untuk berminggu-minggu lamanya.

“Gangguan tidur boleh menghalang pembentukan sel baru di dalam bahagian memori otak (hippocampus).

“Ini cukup untuk mengganggu keupayaan seseorang mempelajari sesuatu yang baru, sehingga beberapa minggu lamanya selepas kualiti tidur kembali normal,” jelas Dr. Dennis McGinty dari universiti tersebut.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) juga menggambarkan tidak cukup atau kurang kualiti tidur sebagai satu masalah kesihatan umum yang kurang diperakui.

Tambahan pula, kajian awal Institut Kanser Kebangsaan AS sendiri menunjukkan peningkatan risiko kanser sebanyak 47 peratus bagi mereka yang mendapat kurang tujuh jam tidur setiap hari.

Bagi seseorang yang sudah membiasakan diri, mungkin tidur yang nyenyak selama empat setiap hari sudah mencukupi.

Namun, kebanyakan pakar bersetuju gangguan seperti OSA atau mana-mana tahap apnea tidur (gangguan aliran udara), gangguan luar (dengkur pasangan) dan kekangan masa tidur perlu ditangani segera bagi mengekalkan kualiti tidur.

Turut ditekan supaya mengelak amalan ‘bulimia tidur’ iaitu tidur lewat setiap malam, kemudian menghabiskan hujung minggu dengan tisur sepuas-puasnya.

Tidak perlu rasa bersalah jika anda ingin tidur selagi ia memenuhi keperluan waktu rehat dan tidak menjejaskan tugas harian.

Rawatan

Dalam merawat masalah dengkur, apa yang perlu dipastikan terlebih dahulu adalah jenis dan bahayanya kepada penghidap.

Dr. Abd. Razak menjelaskan perlu dibezakan sama ada terdapat dengkur yang teruk dan kehadiran apnea (OSA).

“Sejarah kesihatan pesakit akan diperiksa terlebih dahulu di samping ujian-ujian tertentu bagi menentukan masalah tersebut cuma dengkur biasa, teruk atau ada kehadiran apnea.

“Jika cuma masalah dengkur biasa (dan tiada apnea) dengan berat badan berlebihan, pesakit biasanya cuma dinasihatkan supaya mengurangkan berat badan,” katanya.

Tegas beliau, bentuk rawatan bergantung kepada punca, kesesuaian keadaan dan berapa teruk dengkur pesakit, terutamanya jika salur udara terhalang (apnea).

Tambahnya, pembedahan selalunya menjadi pilihan terakhir. Namun rawatan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit dan ada pesakit yang dapat mengawal tekanan darah dengan lebih baik selepas rawatan apnea dan dengkur.

Prinsip rawatan dengkur juga dikatakan sama iaitu untuk menguatkan palet (lelangit) yang besar dan mengurangkan getaran yang menghasilkan bunyi dengkur.

Antara kaedah rawatan bagi mengurangkan getaran (dengkur) atau apnea termasuk:

l Membuang tonsil - tonsil merupakan punca biasa dengkur di kalangan kanak-kanak.

l Alat pelarasan mandibel (rahang) - untuk membetulkan kedudukan rahang yang kecil sehingga lidah menghalang laluan udara.

l Alat menekan lidah - alat dibuat mengikut saiz lidah individu, elakkan halangan laluan udara di belakang kerongkong

l Frekuensi radio - membakar dan mengecutkan tisu lidah bagi masalah masalah lidah besar dan rahang kecil.

l C-pap (tekanan positif berterusan laluan udara) - pilihan akhir jika tidak mahu dibedah, mengepam udara masuk semasa tidur. Pesakit perlu memakai topeng udara semasa tidur dengan kos penyelenggaraan tahunan sekitar RM7,000 hingga RM9,000.

Dr. Abd. Razak menjelaskan masalah struktur seperti tulang hidung bengkok atau patah perlu dirawat sewajarnya bagi mengurangkan dengkur dan mengelakkan apnea.

“Masalah struktur salur udara yang menghalang aliran udara perlu dirawat mengikut kesesuaian.

“Pembuangan tonsil dan pembedahan menanam pillar merupakan kaedah yang paling biasa dijalankan kini,” dakwanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan terdapat pesakit yang tidak mahu dibedah, yang memerlukan penggunaan bius penuh, dan memilih kaedah lain seperti c-pap untuk mengurangkan dengkur dan apnea.

Menurut Dr. Abd. Razak, pembedahan boleh dilakukan dengan menggunakan laser, pemotong elektrik atau alat frekuensi radio.

“Satu lagi kaedah yang agak popular kini adalah kaedah penanaman pillar yang mengurangkan getaran dan juga kurang sakit,” ujarnya.

Beliau menyatakan semua teknik yang digunakan bertujuan menghasilkan ‘parut’ pada lelangit, seterusnya menguatkannya dan mengurangkan getaran.

Penggunaan pillar mengurangkan masa penyembuhan berbanding pembedahan tetapi mahal kerana menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat.

Beliau memaklumkan kaedah pillar juga tidak ditanggung sesetengah insurans kesihatan kerana melibatkan masalah tidur dan dikaitkan dengan masalah obesiti.

“Walaupun individu dengan berat badan berlebihan memang lebih mudah berdengkur, masalah berat badan itu sendiri mungkin berpunca daripada masalah kelenjar endokrin (kelenjar pineal, pituitari, tiroid, thymus, adrenal, pankreas, ovari atau testis),” jelasnya
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 16 April 2013 pada 9:37:00 PG SGT

    saya Muhamad Nizar menetap di Kuala Lumpur. saya ada masalah dengkur yang sangat serius. pada mulanya saya ambil sikap acuh tak acuh sehinggalah kawan2 saya menegur saya. di sini saya ingin tahu di manakah saya boleh mendapatkan rawatan bagi masalah saya ini. saya juga ingin tahu beberapa maklumat lain dari segi hospital mana yang perlu saya pergi, doktor yang boleh saya dapatkan rawatan, dan anggaran kos rawatan..

Add Comment
comment url