Wajah Kabinet Obama
Lebih manusiawi dan mampu mendengar. Dua gambaran itu dirumuskan Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam memperkenalkan Kabinet barunya yang akan menerajui Washington bermula 20 Januari 2009.
Obama turut menyimpulkan barisan baru Kabinetnya sebagai wakil pemulihan imej dan maruah AS di samping menawarkan sesuatu yang lebih segar dalam hubungan diplomasi dan ketenteraan.
Penyusunan Kabinet baru itu juga dibentuk dengan kehadiran beberapa wakil daripada Parti Republikan dalam pendekatan yang disifatkan Obama sebagai menghargai parti lawan terhadap sumbangan mereka dalam penggal pemerintahan lalu.
Seperti yang diduga, jawatan ketiga terpenting dalam Kabinet AS selepas Presiden dan Naib Presiden iaitu Setiausaha Negara menjadi milik Hillary Clinton seperti yang diumumkan oleh Obama di Chicago, kelmarin.
Sebagai bekas wanita pertama AS selama lapan tahun sewaktu suaminya, Bill Clinton menjadi Presiden, pemilihan Hillary sebagai Setiausaha Negara dinilai satu keputusan yang tepat oleh banyak pihak.
Pengalaman Hillary yang dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin utama dunia selain pernah mengunjungi lebih 50 buah negara juga, membolehkannya merencana hubungan diplomatik AS dengan lebih baik dan luas.
Bagaimanapun, ramai yang menilai pemilihan Hillary itu lebih sebagai jaminan politik kepada Obama yang memerlukan sokongan daripada keseluruhan anggota Parti Demokrat bagi melicinkan tugasnya sebagai Presiden.
Hillary meskipun tewas kepada Obama dalam pemilihan calon Presiden Parti Demokrat, namun mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam Dewan Senat dan Dewan Perwakilan, iaitu satu keseimbangan kuasa yang diperlukan oleh Obama bagi meneraju negara.
Bagaimanapun di sebelah dunia Asia Barat, pemilihan Hillary sebagai Setiausaha Negara diterima dalam dua reaksi berbeza terutamanya oleh Palestin dan Israel.
Mempamerkan sikap yang lebih keras dan pro-Israel sewaktu kempennya dalam pemilihan calon Presiden Parti Demokrat lalu, dasar luar AS di bawah Hillary diramal bakal memenangkan Israel dalam banyak perkara.
Lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila pemimpin Palestin dan dunia Arab menyambut dingin pemilihan Hillary itu, sambil mengharapkan Hillary mengambil pengajaran daripada hubungan luar yang terjalin sewaktu era George W. Bush.
Selain jawatan Setiausaha Negara, satu lagi portfolio yang turut menjadi perhatian ialah Setiausaha Perbendaharaan yang memikul tanggungjawab besar dalam memulihkan krisis ekonomi yang membelenggu AS ketika ini.
Bagi jawatan itu, Obama meletakkan kepercayaan ke atas Presiden Rizab Persekutuan New York, Timothy Geithner, 47, sekali gus menggantikan Henry Paulson.
Pemilihan Geithner sebagai Setiausaha Perbendaharaan AS ke-75 itu adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam Jabatan Kewangan iaitu sejak 1988 termasuk pernah menjadi pembantu kepada Setiausaha Perbendaharaan sewaktu era Clinton, iaitu Lawrence Summers.
Selain merupakan antara tokoh penting di sebalik pemulihan krisis antarabangsa yang melanda negara-negara Asia dan Amerika Latin pada 1990, Geithner juga bekerjasama dengan Gabenor Bank Pusat AS, Ben Bernake dan Paulson dalam mengatasi krisis ekonomi global ketika ini.
Geithner akan dibantu oleh Summers, 53, yang dilantik sebagai Ketua Majlis Ekonomi Negara merangkap penasihat ekonomi Obama di White House, lanjutan daripada peranan yang dipegangnya sebagai penasihat ekonomi sepanjang kempen pemilihan Presiden Obama.
Sementara itu, Robert Gates yang merupakan Setiausaha Pertahanan sewaktu era Bush pula akan kekal memegang jawatan tersebut.
Gates, 65, yang dilantik menggantikan Donald Rumsfeld bagi jawatan itu pada 2006 merupakan salah seorang anggota dalam pasukan keselamatan negara Republikan yang sederhana, sekali gus menjadi penyambung usaha kepada Obama untuk merapatkan jurang dengan parti lawan itu.
Penasihat
Bagi jawatan Penasihat Keselamatan Negara pula, Obama melantik James L. Jones yang merupakan bekas pemimpin tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bekas jeneral marin AS yang berpengaruh dan dihormati oleh kedua-dua kubu Parti Demokrat dan Parti Republikan itu sebelum ini memilih untuk tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Beliau juga terkenal dengan kritikan keras terhadap dasar-dasar pemerintahan Bush terutamanya dalam pengurusan peperangan di Iraq.
Penasihat kanan perundangan bagi kempen Obama iaitu Eric Holder, 57, pula dilantik sebagai Peguam Negara, menjadikan beliau warga kulit hitam pertama memegang portfolio berkenaan.
Holder yang pernah berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Kehakiman pada era Clinton, menyandang jawatan tersebut yang akan meletakkan beliau sebagai ketua Jabatan Kehakiman.
Holder juga diberi kepercayaan yang tinggi sebagai penasihat kanan Obama dalam pemilihan Joe Biden sebagai calon Naib Presiden dalam pemilihan Presiden yang lalu.
Gabenor Arizona pula iaitu Janet Napolitano, dilantik sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, iaitu portfolio yang dibentuk pada 2003 berikutan serangan 11 September 2001.
Jawatan itu membabitkan 22 agensi persekutuan yang bertanggungjawab terhadap masalah darurat, cukai, imigrasi, perlindungan Presiden dan hal ehwal keamanan.
Napolitano, 50, disifatkan calon paling layak untuk mengisi jawatan itu kerana pengalamannya yang luas dalam soal pentadbiran tempatan termasuk pernah bergelar Peguam Negara Arizona.
Beliau juga merupakan antara tiga tokoh wanita yang sering diketengahkan dalam barisan kempen Obama sewaktu pemilihan Presiden bagi mengimbangi populariti mendadak calon Naib Presiden dari Parti Republikan iaitu Sarah Palin.
Bagi jawatan Setiausaha Perdagangan pula, Obama memilih Gabenor New Mexico, Bill Richardson, bekas Duta AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu era pemerintahan Clinton.
Richardson pada zaman Clinton juga pernah menjadi Setiausaha Tenaga serta diplomat yang memainkan peranan penting dalam pemulihan hubungan diplomatik AS dengan negara-negara seperti Korea Utara, Iraq dan Cuba.
Pemilihan Richardson juga merupakan satu sejarah bagi kumpulan masyarakat Hispanik apabila buat pertama kalinya pemimpin mereka diberikan peranan kanan dalam pentadbiran AS.
Bekas Senator Dakota, Tom Daschle pula dilantik sebagai Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan, iaitu peranan yang kembali diperkuatkan oleh Obama selepas tidak begitu mendapat perhatian Presiden sebelumnya.
Merupakan seorang veteran perang, Daschle, 61, yang tewas dalam pemilihan Senator Dakota kepada calon Parti Republikan, John Thune pada 2004 bertugas sebagai penasihat kepada sebuah firma dalam bidang kesihatan, kewangan dan perdagangan.
Selain jawatan dalam Kabinet, Obama turut mengumumkan penyandang jawatan yang membantunya di White House. Mereka termasuk bekas pembantu Clinton, Rahm Emanuel yang dipilih sebagai Ketua Staf White House dan Konsultan politik Chicago, David Axelrod sebagai Penasihat Khas kepada Presiden. Turut menyertai Emanuel dan Axelrod ialah Greg Craig, iaitu penasihat paling dekat dalam kempen Presiden Obama yang dilantik sebagai Peguam Khas iaitu peguam tertinggi Presiden. Susan Rice pula dilantik sebagai Duta AS ke PBB yang baru.
Meneliti senarai anggota Kabinet Obama, sesuatu yang jelas ialah ia merupakan susunan semula kepada penggal pemerintahan Clinton apabila kebanyakan yang dilantik pernah menjadi pembantu sewaktu era bekas Presiden itu.
Meskipun mendapat kritikan yang hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kemenangan Obama sebenarnya kemenangan bagi Hillary dan Clinton, namun senarai Kabinet baru itu juga dinilai sangat kuat dalam mendokong agenda perubahan seperti yang diperjuangkan oleh Obama.
Ini kerana barisan Kabinet baru itu turut membawa gambaran episod pemerintahan cemerlang AS sewaktu era Clinton pada 1993-2001 terutamanya dalam aspek pengukuhan ekonomi dan dasar-dasar luar negara yang lebih baik berbanding era Bush.