30,439 syarikat dibatal pendaftaran

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati sektor perdagangan borong dan runcit serta restoran dan hotel paling banyak berhadapan masalah sehingga pendaftarannya dibatalkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata hampir 16 peratus atau 18,198 syarikat daripada 223,313 syarikat sektor berkenaan yang wujud sehingga Disember 2008 didapati tidak aktif.

“Keadaan ekonomi global yang tidak menentu turut memberi kesan kepada syarikat sektor berkenaan di negara ini hingga menyebabkan 30,439 syarikatnya dibatalkan pendaftarannya akhir tahun lalu kerana berhenti berniaga dan gagal mengemukakan laporan penyata kewangan untuk lebih lima tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menggunakan pangkalan data terkini SSM, 115,043 syarikat daripada 116,119 syarikat yang masih wujud tetapi tidak aktif dibatalkan pendaftarannya sehingga Disember lalu.

Abdul Karim berkata, selain itu, 17,616 syarikat berkaitan perkhidmatan kewangan, insurans, harta, pelaburan dan perniagaan dibatalkan, menjadikannya sektor kedua paling tinggi dibatalkan pendaftaran.

Katanya, 8,945 syarikat berkaitan tidak lagi aktif namun 161,815 syarikat masih aktif sehingga Disember lalu.

Dalam tempoh sama, beliau berkata, 5,708 syarikat pembinaan dibatalkan pendaftarannya; 2,073 syarikat dalam proses untuk dibubarkan di mahkamah, manakala 2,656 syarikat tidak aktif. Sebanyak 49,880 lagi syarikat masih aktif sehingga akhir tahun lalu.

Abdul Karim berkata, sektor lain yang turut merasai kesan kemerosotan ekonomi adalah perkilangan, pengangkutan dan komunikasi, perkhidmatan komuniti, sosial dan peribadi serta pertanian, pemburuan, perhutanan dan penangkapan ikan.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url