Al Islam kini lebih hangat


Tentu anda masih ingat kepada kisah seorang ibu berbadan gempal yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat empat sebuah bangunan di Terengganu, selepas menyangka suaminya berkahwin lain.

Kisah itu mudah diingati kerana gambar wanita tersebut diselamatkan oleh anggota bomba, terpampang di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2008.

Tindakan wanita itu juga heboh diperkatakan masyarakat kerana menurut polis, wanita berkenaan mungkin bertindak demikian kerana meniru perbuatan seorang remaja di Kuala Terengganu yang cuba membunuh diri dengan cara yang sama, tiga hari sebelum itu.

Bezanya, gadis berusia 18 tahun itu cuba terjun dari bangunan hotel 10 tingkat. Puncanya, kecewa ditinggalkan kekasih. Tindakan gadis bernama 'Sya' itu dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Abidin yang terletak berdekatan dengan hotel berkenaan.

Apa yang menariknya ialah semasa kedua-dua tersebut berlaku, isu bunuh diri di kalangan umat Islam ini sedang dimainkan oleh Al Islam keluaran Disember 2008, salah sebuah majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. Isu bunuh diri itu pula adalah topik utama kepada keluaran sulung Al Islam yang telah diubah konsepnya mulai keluaran tersebut.

Sebelum ini Al Islam lebih memaparkan isu-isu akademik, serius dan berat, tetapi mulai keluaran Disember 2008 itu, konsep tersebut diubah secara drastik kepada bersifat sederhana. Ia menggabungkan topik-topik ringan, kemasyarakatan dan komersial, dengan yang serius dan berbentuk akademik.

Topik-topik yang dipaparkan dalam konsep baru Al Islam itu pula dekat dengan masyarakat, yang menjadi keluhan mereka serta diolah dengan gaya yang menarik serta ringan. Salah satunya ialah isu bunuh diri itu tadi.

Ternyata, kebimbangan Al Islam terhadap meningkatnya perbuatan cuba membunuh diri di kalangan umat Islam, adalah berasas. Paparan majalah itu amat tepat dengan waktunya.

Baru-baru ini pula, timbul isu blog menghina Nabi Muhammad SAW. di Internet. Sekali lagi Al Islam tampil di hadapan kerana majalah itu dalam keluaran Januari (iaitu sebelum isu tersebut ditimbulkan di media) ada mengenengahkan isu yang sama.

Al Islam keluaran Januari 2009 dipasarkan sekitar 20 Disember 2008 manakala isu blog menghina Nabi mula ditimbulkan pada 25 Disember 2008.

Bezanya, perbuatan menghina Nabi yang disiarkan oleh Al Islam itu dilakukan di laman sembang interaktif (web mobile chatting) yang dikendalikan oleh sebuah syarikat telekomunikasi terkenal tanah air dan dipancarkan melalui GPRS telefon bimbit.

Perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu didedahkan oleh pembaca majalah berkenaan berlaku pada 3 November lalu.

Ternyata, perubahan konsep Al Islam kini amat bertepatan dengan keadaan semasa. Ia mendepani isu dan peka dengan keluhan, masalah serta kehendak masyarakat.

Kepada yang mengikuti perkembangan majalah ini, perubahan konsep yang dilakukan oleh Al Islam memang mengejutkan. Jika sebelum ini ia dianggap berat dan serius, mulai Disember 2008, Al Islam tiba-tiba saja menukar wajah tanpa terlebih dahulu memberi sebarang isyarat awal. Ramai yang terkejut, tetapi ternyata mereka menerima perubahan ini sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Ramai yang melihat konsep baru Al Islam ini sebagai lebih mesra dan dekat dengan pembaca. Artikel-artikelnya juga yang sebahagian besarnya diolah dalam bentuk yang agak santai dan ringan mudah dihayati oleh semua golongan pembaca.

Sesungguhnya konsep baru ini telah menghapuskan stigma kononnya Al Islam cuba membawa pemikiran liberal, mencabar hukum yang telah ditetapkan syarak dan partisan.

Apa yang lebih menarik, khabarnya wajah Al Islam mungkin akan berubah lagi dalam tempoh terdekat. Perubahan itu melibatkan saiz, isi kandungan dan reka letak. Barangkali ini adalah tempoh yang dramatik kepada Al Islam. Ia tidak takut untuk berhijrah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url