Amerika bukan musuh Islam - Ikhlas atau retorik?
Tetapi tingkah laku pentadbiran Bush dalam menangani isu sama ada di Afghanistan, Kashmir, Lebanon, Iraq atau Palestin, kesemuanya mempamerkan White House sememangnya bersikap tidak adil terhadap semua perkara yang berkaitan dengan Islam. Sebahagian besar masyarakat dan negara Islam kini menganggap AS adalah musuh Islam.
Kini Presiden Barack Obama cuba meyakinkan dunia bahawa AS sebenarnnya bukan musuh Islam malah tambah beliau manusia berkongsi harapan dan impian tertentu walaupun berbeza fahaman agama.
Apa yang diperkatakan oleh Obama bukan satu perkara remeh kerana ia dizahirkan ketika temu ramah pertama setelah dilantik menjadi Presiden. Obama juga memilih stesen televisyen Arab Saudi iaitu Al-Arabiya untuk meyakinkan dunia Islam bahawa pentadbiran beliau mempunyai dasar yang jauh berbeza berbanding dengan Bush.
Ungkapan seperti "Kewajipan saya kepada dunia Islam adalah untuk menyampaikan mesej bahawa Amerika bukan musuh anda," yang ditujukan khas kepada masyarakat Islam adalah sesuatu yang agak baru kerana kebiasaannya Presiden AS sebelum ini tidak memberi perhatian yang tinggi kepada kelompok masyarakat Islam.
Obama juga memberi penekanan bahawa menangani konflik Palestin-Israel akan dijadikan pemangkin kepada pendekatan yang lebih menyeluruh untuk memperbaiki hubungan Washington dan negara Islam yang lain.
Kenyataan tersebut adalah selaras dengan kepercayaan masyarakat antarabangsa bahawa kemelut Palestin merupakan punca utama mengapa masyarakat Islam memandang serong terhadap Washington.
Terdapat juga kesangsian terhadap janji-janji Obama dengan anggapan kesemuanya adalah retorik semata-mata untuk meredakan kemarahan masyarakat Islam terhadap AS. Keraguan timbul kerana Setiausaha Negara AS Hillary Clinton dalam temu ramah pertama beliau setelah dilantik ke jawatan tersebut memperkatakan sesuatu yang agak bertentangan dengan Obama.
Hillary yang sebagai asasnya akan menerajui dasar luar AS melalui Jabatan Negara, sekali lagi menegaskan Israel adalah rakan AS dan akan menyokong Tel Aviv tanpa berbelah bahagi. Hillary menggunakan contoh serangan Gaza dengan menekankan bahawa Israel mempunyai hak kerana mempertahankan diri daripada serangan roket Hamas.
Kenyataan Hillary tersebut yang memberi sokongan seratus peratus kepada Israel tidak mengejutkan kerana beliau dikenali sebagai penyokong setia rejim tersebut. Rekod beliau sebagai Senator New York sebelum ini sememangnya berat sebelah dan lebih bersimpati kepada Israel.
Tetapi Hillary sebagai Senator dan Hillary sebagai Setiausaha Negara AS membawa erti yang berbeza kerana jawatan terbaru ini mampu mewarnai dasar luar AS.
Sebab itu apabila kenyataan Obama dan Hillary mengenai Palestin dikatakan bercanggah di antara satu sama lain, maka ini sudah tentu akan membawa implikasi yang besar. Sebab itu ada kalangan yang berpandangan kenyataan Obama mengenai Amerika bukan musuh Islam hanyalah retorik semata-mata.
Mungkin oleh kerana Presiden AS ke-44 ini pandai berkata-kata, kenyataan beliau ini nampak begitu bersungguh dan begitu meyakinkan sekali.
Ada juga yang berpendapat kenyataan Obama itu boleh dipercayai kerana apa yang dicadangkan itu diikuti dengan langkah sebenar. Pelantikan Senator George Mitchell sebagai wakil khas AS ke Asia Barat khusus untuk mencari penyelesaian kemelut Palestin-Israel menampakkan kesungguhan Obama menghurai masalah tersebut secepat mungkin.
Mitchell bukan wakil sembarangan kerana beliau dikatakan sebagai penyebab utama pemeterian Perjanjian Good Friday pada tahun 1998 yang menamatkan konflik di Ireland Utara. Kemelut tersebut menemui jalan penyelesaian kerana kedua-dua belah pihak yang bertelagah saling mempercayai tentang keikhlasan Mitchell.
Mitchell bukan orang baru apabila berhadapan dengan masalah Palestin-Israel. Pada tahun 2000, Presiden AS pada ketika itu Bill Clinton telah mengutus Mitchell membuat tinjauan ke Gaza dan Tebing Barat.
Dalam laporan susulan beliau telah menegaskan supaya Israel menarik balik sekatan supaya pembangunan ekonomi Palestin dapat bergerak ke hadapan. Ekonomi yang mantap tambah beliau, mampu meminggirkan kegiatan militan di kedua-dua tempat tersebut.
Beliau juga mencadangkan supaya pembangunan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat khususnya dihentikan kerana ini merupakan salah satu sebab penyelesaian sukar dicapai.
Tetapi satu perkara yang paling menarik mengenai strategi Mitchell di Ireland Utara adalah beliau memisahkan sayap politik Sinn Fein dan sayap militan IRA sebagai dua entiti yang berlainan. Ini dilakukan untuk memudahkan perbincangan supaya tidak dituduh bersubahat dengan kumpulan pengganas.
Begitu juga dengan masalah Palestin umpamanya, jika strategi pemisahan Sinn Fein/IRA digunakan, maka Hamas boleh dianggap sebagai sayap yang mewakili bahagian politik sementara kumpulan Izz-Al-Din Al-Qassam Brigade pula dianggap sebagai sayap militan.
Ini sudah tentu akan membuka peluang jalan penyelesaian yang lebih cerah kerana Hamas mendapat sokongan rakyat Palestin bukan sahaja di Gaza tetapi sejak kebelakangan ini juga di Tebing Barat.
Memang menarik apa yang mampu dilakukan oleh pentadbiran Obama dalam menyelesaikan masalah Palestin melalui Mitchell kerana keupayaan wakil White House tersebut sememangnya telah terbukti. Maka dari sini timbul persepsi kenyataan Obama bahawa AS bukan musuh Islam bukan semata-mata retorik sahaja.
Tetapi timbul pula faktor Hillary yang menerajui Jabatan Negara AS yang mempunyai perasaan simpati yang berlebihan kepada Israel. Akan timbulkah pertembungan di antara Hillary dan Mitchel mengenai dasar luar AS terutama sekali yang melibatkan Palestin sememangnya menarik perhatian.
Mitchell mempunyai tanggungjawab terus kepada Presiden dan bukannya kepada Setiausaha Negara. Atau adakah kemelut Palestin-Israel akan terus berlarutan tanpa kesudahan kerana pertelagahan Hillary/Mitchell juga sememangnya ada kemungkinan akan berlaku.
Walau apa pun, ungkapan AS bukan musuh Islam akan banyak bergantung kepada keikhlasan Presiden Obama dan bagaimana pertembungan Setiausaha Negara Hillary dan wakil khas White House Mitchell dapat dikawal.