Komentar - Hak asasi 'terlampau'


Ketika ini, keamanan, kesejahteraan, ketenteraman dan kemakmuran negara seolah-olah bukan lagi dianggap perkara terpenting yang diberi pertimbangan wajar dalam membuat sebarang keputusan.

Ahli politik terutamanya telah menghalalkan sebarang cara untuk mencari pengaruh dan memperkukuhkannya sehingga ke tahap menghuru-harakan ketenteraman awam. Mereka menggunakan wang sebagai senjata dan memanipulasikan apa sahaja fakta demi mencapai matlamat.

Irama permainan politik yang semakin berbahaya ini nampaknya sudah menjadi paluan nasional. Ia tidak hanya didendangkan oleh pembangkang malah parti pemerintah pun turut serta.

Kelemahan parti pemerintah memberikan reaksi terhadap tuntutan masyarakat majoriti dan lebih tunduk pada desakan minoriti telah memberikan tafsiran yang salah malah menghantar mesej dan signal yang gagal ditafsirkan oleh kebanyakan rakyat.

Kita jangan tanya di manakah silapnya lagi apabila generasi muda menolak parti kesayangan mereka sebelum ini. Perjuangan kejiwaan sudah tumpul.

Apa yang ada sekarang hanyalah agenda peribadi. Membujur lalu melintang patah, sikap mengadu domba, menuding jari malah menutup mata daripada melihat hakikat kebenaran di depan mata telah menjadi lumrah. Kemudian pura-pura tidak mengerti segala macam isyarat yang telah dihantar oleh para pengundi. Kononnya perlu mencari petunjuk lagi.

Lihat sahaja, atas nama politik ada orang menjadi pembela kepada suspek penjenayah berbahaya. Mencaci cerca penguat kuasa undang-undang, mempertikaikan keadilan sistem perundangan dan kehakiman malah menuduh negara dan kepimpinannya mengamalkan diskriminasi kaum.

Tidak ada sesiapa pun kemudiannya bangun menjadi pembela, malah tidak sesiapa yang sanggup berdepan dan meleraikan semua dengan fakta yang nyata. Semua menikus.

Secara rasionalnya, bolehkah kita memperjudikan nasib dan keamanan lebih 27 juta penduduk negara ini hanya kerana seorang individu yang disebut sebagai suspek penjenayah?

Bolehkah segala tindakan demonstrasi jalanan, kekasaran, tunjuk perasaan dan maki-hamun serta memperkecilkan undang-undang membantu usaha menjamin dan menegakkan hak asasi manusia?

Hak asasi bagaimana yang sebenarnya yang mahu kita pertahankan? Apakah kita sudah lupa, bila penjenayah bermaharajalela kita tuding jari kepada penguat kuasa terutama polis yang kononnya tidak bekerja.

Bila penjenayah diberkas, proses membawa ke muka pengadilan bukanlah semudah menekan mesin kira 1, 2 atau 3. Dalam proses dan prosedur, mesti akan berlaku salah perkiraan.

Tetapi adilkah semua itu dilontarkan kembali tanpa kita memberi ruang dan peluang kepada mereka? Apakah hak polis lebih rendah keutamaannya daripada hak penjenayah dan tertuduh?

Mari kita kembali tumpukan perhatian kepada pokok isu utama. Ia berkaitan keselamatan dan keamanan. Hak individu hanya terjamin apabila negara dalam keadaan aman.

Oleh itu, jangan wujudkan kekacauan dan kekeliruan demi usaha menangguk di air keroh. Tidak akan wujud hak asasi apabila negara kacau-bilau. Lihat sahaja apa yang berlaku di Palestin, siapa peduli hak asasi individu lagi ketika ini?

Kita kena wujudkan kefahaman mengenai apa yang dikatakan sebagai hak asasi. Kita kena pastikan siapakah yang lebih berhak terhadap hak asasi berkenaan.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan hujah ini tetapi bayangkan anda yang menjadi mangsa, dirompak, dirogol dan dicederakan.

Pada siapa anda akan berpaling memohon pertolongan dan bantuan? Ketika anak dan keluarga anda dipukul, dicederakan dan dijadikan tebusan, kepada siapa hak asasi itu hendak anda suarakan?

Jawab sahaja soalan di atas maka para aktivis dan pejuang hak asasi yang cuba menjadi juara berkenaan boleh mendapatkan jawapan sebenar sekiranya mereka itu ikhlas tanpa agenda tersembunyi.

Bolehkah memburukkan polis dan penguat kuasa membantu kemakmuran dan kesejahteraan negara. Ganas benarkah anggota keselamatan sehingga kita terpaksa berdemonstrasi di seluruh pelosok negara.

Berapa ramaikah mereka yang ditahan dilokap mati akibat didera? Mari kita bandingkan fakta jenayah di seluruh negara dan kira dengan dada yang lapang berapa ramai yang menjadi mangsa pembunuhan ngeri, kecederaan kekal, kerosakan harta benda, kecurian, rompakan, rogol, dadah dan seumpamanya.

Mampukah para juara demonstrasi ini menjamin keamanan dan kesejahteraan kita? Atau merekalah sebenarnya yang memuja kepada keganasan dan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

Kita yakin, mereka ini menggunakan topeng nakal bagi membakar semangat untuk menjayakan agenda peribadi yang telah sekian lama diatur.

Pihak berkuasa, semua rakyat yang cintakan keamanan adalah majoriti yang diam. Mereka sudah muak dengan sikap mengalah yang ditunjukkan.

Mereka juga khuatir rasa hormat kepada anggota penguat kuasa telah dilucutkan sehingga ada yang sanggup meletakkan logo anjing pada lencana kemegahan itu.

Bolehkah kita nafikan lagi bahawa penghormatan, rasa takut dan gerun yang pernah ada pada anggota kerselamatan sudah semakin luntur kerana terlalu atau terlebih diplomasi.

Sudah tiba masanya, kerajaan perlu mengorak langkah dan mengukuhkan strategi demi memokuskan semula gerak kerja.

Kita sudah lama terpesong daripada wawasan utama kerana kemelut yang pelbagai akibat gendang palsu dan dakyah tidak bersandarkan fakta.

Malah kita sudah terlalu banyak terlepas pandang dan terlepas kawalan dengan pelbagai ketakutan yang diwujudkan oleh golongan ini.

Semboyan kembali ke medan sudah patut ditiupkan. Hidup yang diselubungi was-was tidak berasas patut dilupuskan.

Buka mata dan minda, buka telinga dan hati pada fakta dan kebenaran. Mulakan dari detik ini, jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur dan durian sudah menjadi tempoyak.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url