Aseambankers kini Maybank Investment Bank

ASEAMBANKERS Malaysia Bhd, bank pelaburan milik penuh Malayan Banking Bhd (Maybank), semalam melancarkan identiti barunya dalam usaha kumpulan itu muncul antara institusi kewangan kelima terbesar di rantau ini menjelang 2015.

Bank pelaburan itu yang kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Bhd (Maybank-IB), bersedia menyertai dan meraih manfaat daripada kekukuhan jenama syarikat induknya dalam mengembang perniagaan.

Ketua Eksekutif Maybank-IB, Mohammed Rashdan Yusof, berkata usaha itu sebahagian strategi kumpulan bagi menyelaraskan jenamanya, sekali gus meraih manfaat daripada kekukuhan jenama Maybank yang sudah bertapak kukuh di beberapa negara di Asia.

“Ini bukan sekadar perubahan kosmetik. Kami akan meneruskan aktiviti perniagaan secara agresif melalui pelan pengembangan serantau kumpulan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jenama dan logo baru Maybank-IB di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Zarinah Anwar; Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad dan Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Mohammed Rashdan berkata, pengambilalihan Bank Internasional Indonesia Tbk pada suku ketiga tahun lalu, membuka peluang Maybank-IB untuk mengembangkan kegiatannya di negara itu.

“Indonesia adalah sasaran utama. Saya diberi mandat untuk mengambil peluang sebaik mungkin daripada pengambilalihan itu dan perkhidmatan bank pelaburan juga kini amat diperlukan di republik itu.

Sementara itu, mengulas keperluan mencari dana bagi kumpulan Maybank, Abdul Wahid berkata, pihaknya berhasrat mengumpul dana tambahan RM3 bilion sebagai modal kerja.

“Sehingga kini kami (Maybank) mengumpul sebanyak RM9.1 bilion. Bakinya iaitu kira-kira RM3 bilion lagi akan dijana menerusi pelbagai pilihan,” katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url