Bila Melayu Berpecah Belah

Betapa ironisnya peribahasa lama yang menceritakan tentang kebebalan dan kedangkalan mentaliti seorang yang bernama Pak Pandir atau Lebai Malang dalam kisah persabungan ayam.

Ayamnya menang tetapi kampungnya pula yang tergadai. Begitu juga dengan peribahasa lama yang menceritakan tentang kemarahan seorang yang bodoh sombong kerana marahkan nyamuk... habis semua kelambunya dibakar.

Begitulah putaran hidup di dunia ini. Sketsa daripada cerita dan peribahasa lama banyak membawa dan menterjemahkan kisah daripada kehidupan sebenar, cuma kita tidak pernah mahu mengambil iktibar daripadanya.

Yang lebih tragisnya ialah Melayu mudah lupa wahai saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangkitlah kamu semua daripada tidurmu yang diulit mimpi-mimpi yang lama. Bukalah mata kalian, lihatlah di sekelilingmu betapa selama 50 tahun ketuanan Melayu telah menjadi teras pemerintahan tanah warisan Melayu di Malaysia ini.

Kini semuanya telah terhakis sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan akan hilang terus ditelan oleh kerakusan tangan-tangan Islam dan Melayu sendiri.

Islam dan Melayu adalah satu golongan yang menguasai majoriti populasi rakyat di Malaysia ini tetapi kerana perbezaan wadah perjuangan politik kita menjadi berpecah belah. Kita bermusuhan dan paling tragis lagi kita sanggup bersekongkol dengan kaum dan penganut agama lain bagi menjatuhkan saudara seagama dan sebangsa .

Alangkah sedihnya umat Islam dan Melayu berpecah kepada UMNO, Pas dan PKR.

Pada waktu yang sama kaum lain bersatu dalam DAP. Dan impak dan natijahnya, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang telah jatuh kepada DAP? Mungkin pada zahirnya kita melihat ketiga-tiga negeri itu berada di bawah Barisan Alternatif tetapi pada hakikatnya, DAP yang menguasai kerusi DUN di ketiga-tiga negeri tersebut.

Dan yang lebih memalukan ada di antara umat Islam dan Melayu telah sama-sama membantu DAP untuk menghapuskan sama sekali suara Melayu di Pulau Pinang.

Dengan memiliki lebih dua pertiga kerusi di sana, DAP bebas untuk berbuat apa saja agenda mereka yang terbuku di hati selama ini. Apa gunanya kita mendabik dada dengan mengatakan kita menang kalau kita hanya menang sorak tetapi kampung tergadai.

Jangan pula nanti kita semua terkejut atau menyesali diri kalau ada undang-undang yang dilulus atau digubal untuk mengurangkan bunyi azan di surau atau masjid di Pulau Pinang. DAP tidak akan kisah dan mempedulikan nasihat Majlis atau Jabatan Agama Islam Pulau Pinang kerana mereka yang memerintah.

Bagi Perak dan Selangor pula, andai kata PKR dan Pas yang dipilih menjadi Menteri Besar, hakikatnya tetap sama, DAP menguasai DUN. Segala kata putus mesti mendapat endorsement DAP dulu.

Maka jadilah mereka Menteri Besar boneka, yang tiada bezanya dengan Mahmood Abas, Hamid Karzai dan Pervez Musharraf yang menjadi Presiden boneka Amerika. Akhir kata... wahai saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangunlah dan fikirkan nasib yang bakal diharungi oleh anak-anak dan cucu-cucu kita di kemudian hari. Jangan sampai mereka menyumpah di kuburan kita kerana kesilapan yang kita lakukan hari ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url