Boikot rokok & filem Hollywood
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan tersebut adalah wadah terbaik bagi menyuarakan bantahan terhadap kezaliman tersebut selain membantu pengguna menghindari tabiat kurang sihat itu.
"Selaras dengan kempen memboikot, saya rasa ini memang masa yang sesuai untuk kita sama-sama membuang tabiat merokok. Ia bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan malah merosakkan diri dan keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konvoi Silaturrahim di sini hari ini.
Konvoi itu anjuran Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur dan akan berakhir di Paka, Terengganu.
Program tersebut merupakan kesinambungan Kempen Boikot Produk Yahudi yang dikendalikan oleh PPIM.
Maamor berkata, sudah tiba masanya pengguna mengenepikan filem-filem terbitan AS kerana ia lebih banyak menyiarkan propaganda mereka.
"Filem Hollywood menyiarkan mesej yang cuba menunjukkan mereka hebat dan terbaik malah tersasar jauh daripada budaya kita.
"Jadi pihak kerajaan mungkin boleh mengenakan beberapa tindakan seperti menaikkan harga tiket dan sekali gus membuatkan pengguna beralih menonton filem tempatan," ujarnya.
Sebanyak 30 buah kereta menyertai konvoi itu dan para peserta akan mengedarkan risalah serta surah Yasin di lokasi-lokasi terpilih bagi memupuk semangat kemanusiaan dan prihatin terhadap penderitaan umat Islam di Palestin.
Menurut Maamor, kempen itu sekurang-kurangnya dapat membantu usahawan tempatan meningkatkan produktiviti mereka.
Ditanya mengenai nasib pekerja Islam di restoran makanan segera seperti McDonald dan KFC yang turut diboikot, beliau berkata, ia bukan bertujuan menutup rezeki mereka.
"Kita mahu mereka memberitahu pihak atasan di AS supaya mengubah dasar luar mereka.
"Biar mereka dapat mesej bahawa kita anti peperangan dan kalau boleh biarlah segalanya diselesaikan di meja rundingan. Sebab kita tahu syarikat-syarikat ini memang ada kepentingan terhadap Yahudi," katanya.
Beliau berkata, aktiviti memboikot itu seharusnya berterusan sebagai tanda jihad ekonomi di kalangan umat Islam.
- Utusan