Lembu: Khalid nafi beri arahan kepada PKNS

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan pernah memberi arahan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung pembelian 46 ekor lembu untuk agihan korban di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak sempena Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Sebaliknya, perkara itu diputuskan PKNS sendiri melalui enam anak syarikat bersekutunya sebagai salah satu sumbangan korban di kawasan Parlimen berkenaan.

Katanya, sepatutnya lembu- lembu berkenaan dibeli untuk diagihkan kepada golongan miskin di luar Selangor.

"Sebelum ini, saya cadang supaya lembu ini dihantar ke Kemboja, tapi PKNS menolak cadangan itu.

"Bagaimanapun, setelah pengurusan syarikat itu mengadakan perbincangan, mereka membuat keputusan mahu mengagihkannya ke surau dan masjid di kawasan Parlimen saya.

"Jadi bukan saya buat keputusan untuk beli lembu ini, tetapi pengurusan syarikat yang mahukan ia diagihkan di Parlimen Bandar Tun Razak dan saya hanya beri senarai surau serta masjid," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Laman Dapur anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Kampung Harmoni, Ijok di sini hari ini.

Pembelian 46 ekor lembu berjumlah RM110,400 itu mencetuskan kontroversi apabila Gerakan Anti Korupsi Rakyat (Gerak Malaysia) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid dalam pembelian haiwan berkenaan.

Menurut pengerusinya, Mohd. Nazree Mohd. Yunus pihaknya turut mempunyai dokumen-dokumen penting termasuklah resit invois tuntutan bayaran pembelian lembu-lembu berkenaan menggunakan kepala surat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang bertarikh 16 Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid turut menyokong supaya Akta Rahsia Rasmi (OSA) dimansuhkan bagi membolehkan orang ramai lebih terbuka dalam meneliti sesetengah maklumat dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, pemansuhan akta itu dirasakan amat baik sebagai salah satu proses ke arah keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu dipersetujui oleh semua pihak supaya tidak timbul masalah pada masa depan.

"Saya tidak setuju sesetengah maklumat kerajaan ini dirahsiakan kerana walaupun OSA dilaksanakan, pendedahan rahsia kerajaan tetap berlaku.

"Bagi saya, tidak ada masalah akta ini dimansuhkan kerana di Amerika Syarikat, negara itu mendedahkan maklumat kerajaan yang dibuat semasa pentadbiran Presiden George W. Bush kepada rakyatnya.

"Saya fikir ia satu perkara yang baik dan saya menyokong OSA ini dimansuhkan kecuali perkara tertentu sahaja seperti keselamatan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sendiri akan mendedahkan maklumat pentadbirannya melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat negeri itu menilai sebarang rancangan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinannya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url