Datuk Bandar Kuala Terengganu nafi paksa staf undi BN (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Mat Razali Kassim menafikan tuduhan Pas kononnya beliau menggunakan kedudukannya sebagai Datuk Bandar untuk memaksa kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu ini.

Mat Razali yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu berkata, dakwaan tersebut hanyalah fitnah semata-mata kerana pertemuan dengan kakitangan MBKT yang berlangsung semalam, bukan bertujuan memaksa mereka mengundi BN.

''Itu adalah perjumpaan biasa dengan kakitangan MBKT. Ia bukan khusus untuk suruh orang sokong BN. Takkan semata-mata kerana musim pilihan raya saya tak boleh buat perjumpaan.

''Malah saya tak sebut apa pun tentang suruh undi Barisan Nasional (BN). Kandungan ucapan saya bukan benda baru, selama ini memang saya bercakap hal itu juga.

''Jadi tak payahlah nak politikkan pula ucapan saya, lagi pun pemimpin Pas tak ada di majlis itu. Jadi macam mana mereka boleh dakwa macam itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong pada sidang akhbarnya mendakwa Mat Razali telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Datuk Bandar apabila menyeru kakitangan MBKT menyokong calon BN pada pertemuan yang diadakan semalam.

Kata beliau, Pas akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penglibatan Razali dalam pertemuan tersebut.

''Memandangkan kedudukannya sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mat Razali haruslah bersikap neutral iaitu tidak memihak mana-mana parti," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url