Great Eastern lancar dua produk baru

Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd. (Great Eastern) memulakan tahun baru dengan melancarkan dua produk insurans iaitu, Smart Medic dan AddVantage Plus setelah menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Yaw Hui berkata, Smart Medic adalah produk perubatan pertama komprehensif untuk pelan berasaskan pelaburan dengan had tahunan dan jangka hayat tertinggi dalam pasaran.

Katanya, tuntutan perubatan boleh dibuat pada jumlah sepenuhnya dengan had tahunan sebanyak RM200,000 dan had jangka hayat sehingga RM1.6 juta bergantung kepada pelan pilihan pemegang polisi.

''Kos perubatan sering menjadi keutamaan semua dengan kemungkinan serangan penyakit di luar jangkaan yang melibatkan keperluan terhadap perbelanjaan perubatan ditambah pula dengan kos yang semakin meningkat.

"Satu lagi kelebihan Smart Medic yang mana had tahunan keseluruhan ditingkatkan setiap lima tahun, dengan syarat tiada tuntutan dibuat dalam tempoh itu," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Smart Medic menawarkan perlindungan perubatan untuk mengurangkan kesan tekanan kewangan sewaktu menghadapi sebarang kecemasan ketika keperluan perubatan amat diperlukan.

Antara manfaat Smart Medic termasuk kemasukan ke wad hospital yang lebih mudah, rawatan sebelum dan selepas kemasukan hospital, rawatan kanser pesakit luar dan dialisis buah pinggang, Unit Rawatan Rapi serta perbelanjaan pembedahan.

Pelan insurans itu ditawarkan kepada mereka yang berumur daripada 30 hari hingga 60 tahun, dan boleh diperbaharui setiap tahun sehingga mencapai usia 80 tahun.

Menurut Yaw Hui, insurans AddVantage Plus pula adalah pelan berasaskan pelaburan bagi polisi insurans hayat yang memberikan jumlah peruntukan sebanyak 50 peratus bonus tambahan kepada para pemegang polisi dengan jaminan 10 tahun.

Sebagai tambahan, katanya, pelan itu membantu para pemegang polisi mendapat jaminan masa hadapan dengan memberikan 100 peratus kenaikan pada jumlah yang diinsuranskan selama 20 tahun.

Pengguna tidak dikenakan cukai dan premium berbayar adalah layak bagi pengecualian cukai bagi kedua-dua pelan itu.

Sehingga ini, Great Eastern mempunyai 17,000 ejen dan 24 cawangan di seluruh negara dengan jumlah aset melebih RM35 bilion dan telah menjana lebih 2.7 juta polisi yang dimiliki lebih 1.9 juta pemegang polisi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url