sdb tawar 100,000 peti simpanan deposit

Ketika negara menghadapi kesan krisis ekonomi dunia dengan kadar jenayah dijangka meningkat, syarikat Safe Deposit Box Sdn Bhd bercadang menyediakan 100,000 peti simpanan deposit untuk disewa di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

"Peti simpanan deposit ini boleh disewa pada kadar semurah RM80 setahun mengikut saiz tertentu dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan kawalan keselamatan 24 jam.

"Ia lebih selamat kalau dibandingkan dengan peti besi di rumah yang boleh dibuka dengan sebilah pisau oleh seseorang perompak," kata Pengarah Urusannya, Steve Wong dalam satu temubual di sini hari ini.

Wong berkata, SDB mempunyai dua bilik kebal di Metropolitan Square Damansara Perdana dengan kapasiti 11,000 peti simpanan deposit dan pusat membeli-belah, The Summit Subang USJ, dengan kapasiti 9,000 peti simpanan deposit, beroperasi bermula November tahun lepas.

Katanya, dua lagi bilik kebal sedang dibina di Wisma MPL Jalan Raja Chulan dan Bangsar Shopping Centre dengan kedua-duanya mempunyai 10,000 peti simpanan deposit. Masing-masing dijangka siap bulan depan dan hujung tahun ini, kata Wong, yang optimis perkhidmatan syarikatnya akan mendapat sambutan selepas banyak bank tempatan berhenti menawarkan perkhidmatan itu sejak dua tahun lepas.

"Ia akan membantu mengurangkan beban pihak polis," katanya yang merujuk kepada pihak polis yang sememangnya kekurangan anggota.

SDB menggunakan bilik kebal Chubb yang digunakan di seluruh dunia dan sistem akses pengecaman cap jari biometrik yang dibangunkan sebuah syarikat tempatan.

Penyewa peti simpanan deposit perlu melalui empat proses saringan keselamatan menggunakan pengecaman cap jari, MyKad atau pasport bagi warga asing, padanan foto dan pengesahan kata kunci bagi tujuan pengesahan.

Wong berkata, bilik kebal dipantau kamera litar tertutup 24 jam selain mempunyai pengesan seismik, sensor audio dan sensor cahaya serta ciri-ciri keselamatan lain.

Tidak seperti peti simpanan deposit konvensional di bank, bilik kebal SDB terletak di kompleks beli-belah yang bukan sahaja selamat dan strategik tetapi mudah akses.

"Ia juga tiada risiko bencana alam seperti banjir kerana kedudukan bilik kebal dalam kompleks beli-belah yang sememangya strategik. Ia juga kalis api," kata Wong.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web www.safedepositbox.com.my atau menelefon 03-8024 8889 (Summit Subang USJ) atau 03-7727 8689 (Metropolitan Square Damansara Perdana).

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url