Gua.com tampil wajah baru

Antara pembaharuan ialah pengunjung boleh membuka portal hiburan ini dalam tempoh 20 saat

WALAUPUN 1.5 juta pengunjung melayari portal hiburan gua.com.my, ia tidak dianggap sebagai memberikan kedudukan selesa kerana persaingan gerbang hiburan yang semakin banyak dan sengit.

Perubahan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan portal gua.com.my sentiasa memuatkan aktiviti dan kandungan lebih segar serta menarik.

Pengurus Besarnya, Zulkifli Abd Jalil berkata, selepas setahun beroperasi potral hiburan kendaliannya tampil dengan pembaharuan yang lebih baik tetapi bukan dilakukan secara drastik kerana tidak mahu mengelirukan pengunjung setianya.

Sebaliknya, pembaharuan itu sekadar mengemaskini beberapa isi kandungan selepas mendapat maklum balas membina daripada pengunjung yang melayarinya.

Menurutnya, selepas lebih 12 bulan beroperasi, pihaknya menerima banyak maklum balas baik yang positif mahupun negatif.

“Daripada maklum balas inilah kita mengambil langkah proaktif untuk memperkenalkan kembali wajah baru laman portal hiburan gua.com.my yang lebih segar dan interaktif.

“Sebenarnya majlis memperkenalkan kembali wajah baru ini bukanlah ingin menunjukkan perubahan drastik ataupun 100 peratus apa yang sudah ada, tetapi sekadar mengemaskini kembali isi kandungan agar lebih teratur, padat dan cepat.

“Apa yang kita buat ini adalah berdasarkan maklum balas pengunjung portal ini yang memberi pelbagai komen membina bagi memudahkan mereka melayari dengan lebih selesa dan cepat,” katanya di sidang media mengenai wajah baru portal hiburan gua.com.my di ibu negara, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, selepas lebih setahun beroperasi, pihaknya mengenalpasti beberapa program yang menjadi pilihan pengunjung seperti drama portal Kerana Kirana dan Jelma yang kini masing-masing sudah memasuki musim kedua tahun lalu.

“Kedua-dua drama ini akan disambung pada musim ketiga dalam masa terdekat ini. Selain itu juga, kita merancang untuk memperkenalkan beberapa drama baru seperti drama komedi yang berjudul Mingguan Lelaki dan beberapa drama lagi tahun ini,” katanya.

Menurut Zulkifli, strategi ini bagi menarik lebih ramai pengunjung baru seterusnya mengekalkan pengunjung sedia ada.

“Sehingga hari ini, kami sudah mempunyai 400,000 ribu pengunjung berdaftar dan merekodkan purata 1.5 juta pengunjung melayari laman web ini setiap minggu.

“Kami tidak menjadikan jumlah itu sebagai kedudukan selesa, kerana dengan kemunculan banyak persaingan portal hiburan kini, Gua berjanji akan berusaha dengan lebih gigih untuk memberi perubahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tunggu reaksi pengunjung lawan web

DALAM pada itu, Ketua Pembangunan Web dan Rekaan, Nicholas Sagau Tony Ngimat berkata, pihaknya sudah berusaha untuk mengatasi beberapa masalah yang menjadi rungutan pengunjung seperti kesukaran atau mengambil masa lama untuk membuka portal ini.

“Pada majlis ini juga kita memaklumkan bahawa laman portal gua.com.my boleh dilayari dengan cepat dan kurang 20 saat. Kita juga sudah menambah kapasiti kelajuannya web ini selepas maklum balas pengunjung.

“Hari ini juga portal ini memaparkan paparan skrin yang kemas disamping mengekalkan editorial dan isi video yang berkualiti dan lebih padat. Banyak segmen baru diwujudkan dan isi kandungannya lebih teratur.

“Kami juga berharap pengunjung berpuas hati dengan penampilan wajah baru ini yang lebih segar dan efektif. Kami sebenarnya mengalu-alukan pandangan membina daripada pengunjung laman portal ini agar kedua pihak mendapat manfaat yang sama,” katanya.

Majlis sidang media dan memperkenalkan wajah baru gua.com.my ini turut menampilkan persembahan hiburan daripada Joe Flizzow, Infinatez dan The White Percussion yang memberi persembahan bertenaga bersesuaian dengan imej portal ini.

Di majlis yang juga, Gua turut memperkenalkan hos mereka iaitu Adria, Ben Ibrahim, Lian, Miya Zainal, Sarah Lian, Shah Shamsiri dan Sri Sharinie.

FAKTA NOMBOR: Gua.com

1.5 juta - Jumlah pengunjung

400 ribu - Pengunjung berdaftar

12 bulan - Usia gua.com.my beroperasi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url