Royalti minyak Terengganu dijangka lebih RM3 bilion

Kerajaan Persekutuan menjangkakan Terengganu akan memperoleh lebih RM3 bilion hasil daripada wang royalti minyak tahun depan jika harga bahan api itu naik di pasaran sepanjang tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu lebih tinggi daripada hasil royalti yang diperoleh sekarang iaitu antara RM1.6 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun.

Katanya, untuk itu, beliau mahu kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menggunakan wang royalti sebaik mungkin untuk membangunkan negeri ini berkonsepkan mesra rakyat.

''Tahun depan tengok rezeki, jika harga minyak naik royalti juga akan bertambah. Bayangkan rezeki yang tuhan bagi ini.

''Negeri lain tidak ada rezeki sebanyak ini. Saya sudah beritahu Menteri Besar supaya gunakan wang ini untuk kesejahteraan rakyat. Buatlah apa saja dan kita tidak akan persoalkan asalkan ia untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat daripada rezeki tambahan ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat ikhlas untuk membangunkan Terengganu dan pemulangan semula wang royalti minyak ke pangkuan rakyat negeri ini merupakan lambang ke arah usaha itu.

Jelasnya, Kerajaan Pusat pada dasarnya bersetuju menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk menguruskan pelaburan wang royalti minyak bagi memastikan kesinambungan pendapatan kerajaan negeri apabila sumber bahan api itu habis.

Katanya, kerajaan negeri sedang memperincikan kertas kerja penubuhan TIA untuk kelulusan Kementerian Kewangan dan Kabinet.

Najib berkata, walaupun Terengganu memperoleh wang royalti, Kerajaan Pusat berjanji akan meneruskan proses transformasi negeri ini khususnya dan Pantai Timur amnya supaya tidak ketinggalan berbanding pantai barat.

''Saya bercakap begini sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen Pantai Timur kerana Terengganu dan Pahang berada dalam satu barisan. Kawasan saya juga banyak kampung nelayan dan saya mahu melihat pantai timur maju," ujarnya.

Beliau gembira kerana kemajuan yang dinikmati Terengganu sekarang begitu mempersonakan dan perubahan besar itu dapat dilihat sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih pucuk pimpinan daripada Pas sejak tahun 2004.

Menurutnya, antara perubahan tersebut ialah menaiktaraf Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) menjadi sebuah bandar raya dan kewujudan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa selain pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Bagaimanapun dalam hal ini jelasnya, perlu ada timbal balik dari rakyat negeri ini iaitu dengan terus menyokong kerajaan sedia ada supaya proses itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Bagi 543 kakitangan MBKT yang akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini, beliau meminta mereka terus menyokong kerajaan sedia ada yang banyak melakukan perubahan serta menjaga kebajikan pekerja.

- Utusan
Next Post Previous Post
1 Comments
  • abdrahim kassim
    abdrahim kassim Rabu, 14 Januari 2009 pada 9:59:00 PTG SGT

    Rakyat Terengganu baru ada 1 juta. Kalau 3 bilion bahagi dengan 1 juta, hui... boleh dapat 2 juta lebih seorang.

    Apa pasal kerajaan tak nak faraid saja pada rakyat royalti itu.Untuk setahun sahaja.

    Lepas tu buatlah pembangunan semula. Sudah tentu tak ada orang miskin di Terengganu lagi.

Add Comment
comment url