Umat Islam kena sedia harungi krisis

UMAT Islam di seluruh dunia akan dibelenggu kemiskinan dan menjadi mangsa proses globalisasi sekiranya tidak berupaya berdepan cabaran ekonomi baru dunia yang semakin ditentukan keupayaan bersaing dalam ekonomi pasaran bebas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata proses globalisasi dan liberalisasi perdagangan masih belum membawa kesan yang benar-benar positif kepada negara Islam yang membangun.

Katanya, di kalangan negara terbabit, masih banyak yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara satu sama lain dan ini menyebabkan wujud halangan tarif serta bukan tarif yang membantutkan aliran perdagangan dan pelaburan sesama negara Islam.

Beliau berkata, persoalan penting ialah sejauh mana umat Islam berpeluang mengambil bahagian secara berkesan dalam proses globalisasi dan seterusnya meningkatkan keupayaan untuk bersaing dan mencipta kekayaan.

“Jika separuh daripada umat Islam di dunia hari ini masih tinggal di negara yang dibelenggu kemiskinan, mereka tentu sekali menjadi mangsa dan bukan peserta proses globalisasi,” katanya dalam kertas kerja beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

‘Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan Dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia’.

“Jika masalah itu tidak diatasi dengan segera, jurang kemiskinan di kalangan umat Islam akan melebar dan sebarang usaha untuk memperkasa ekonomi umat Islam akan berdepan situasi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja ‘Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan Dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia’.

Kertas kerja beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Muhyiddin menambah, secara keseluruhan, penguasaan ekonomi di kalangan negara Islam masih rendah yang mana jika digabungkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Islam tidak lebih daripada lima peratus daripada KDNK dunia.

Katanya, walaupun negara Islam menguasai 60 peratus daripada hasil asli dunia, jumlah dagangan mereka hanya sebanyak tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan dunia.

“Malah, daripada 49 negara termiskin di dunia, 22 adalah adalah negara Islam dengan kebanyakan negara itu dibelenggu hutang luar yang besar, sekali gus menghalang keupayaan untuk bersaing dalam ekonomi dunia,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada usaha untuk memperkasa ekonomi umat Islam ialah melalui pemantapan jaringan di kalangan masyarakat perniagaan dan perdagangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, pengalaman ‘bamboo networking’ di kalangan konglomerat Cina di seberang laut wajar dicontohi oleh komuniti perdagangan dan perindustrian Islam yang mana jaringan perniagaan tidak formal yang berasaskan sikap saling mempercayai antara konglomerat Cina seberang laut telah menjadi nadi terhadap pembangunan ekonomi di negara Asia .

“Apa yang menarik mengenai bamboo networking ini ialah keupayaan konglomerat Cina seberang laut untuk menjadi komuniti ekonomi global yang berdaya maju dan berdikari.

“Mereka bukan saja menyediakan jaringan pasaran global bagi barangan dan perkhidmatan, malah menjadi sumber modal dalam komuniti yang dapat mengurangkan kebergantungan usahawan Cina kepada kerajaan,” katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url