Harga barang makanan turun suku tahun pertama
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penurunan harga makanan itu dijangka berlaku ekoran semakin banyak syarikat pembekal dan pengeluar barangan makanan menyertai kempen penurunan harga yang digerakkan oleh kementerian.
Menurutnya, ketika ini, terdapat 14 syarikat peruncit seperti Giant, Tesco, The Store termasuk syarikat peruncit tempatan telah mengambil bahagian menjayakan kempen berkenaan.
''Melihatkan keadaan ini, kita merasakan akan berlaku penurunan harga makanan kerana sudah banyak syarikat pengeluar, pembekal dan peruncit barangan makanan menurunkan harga produk mereka demi menyahut seruan kerajaan menjayakan kempen penurunan harga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga Biskut Julies keluaran syarikat Perfect Food Manufacturing Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Sempena kempen itu, syarikat terbabit menawarkan penurunan harga bagi 46 jenis biskut jenama Julies dengan potongan harga sehingga 38 peratus bermula bulan depan.
Selain itu, kata Shahrir, tindakan peniaga menurunkan harga barangan atau perkhidmatan tidak akan menjejaskan perniagaan mereka sebaliknya pengguna akan terus mendapatkan produk tersebut memandangkan harga yang ditawarkan lebih rendah.
''Apa yang penting perlunya ada usaha dan kompromi antara pengguna dengan peniaga bagi membolehkan harga dapat diturunkan.
''Jika peniaga sendiri tidak mengambil inisiatif menawarkan harga barangan yang berpatutan kepada pengguna, sudah pasti ia mendatangkan ketakutan kepada pengguna untuk membeli barangan yang dikeluarkan oleh syarikat mereka," katanya.
- Utusan