Kekalkan kemenangan BN - PM (PRK Kuala Terengganu)


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Barisan Nasional (BN) perlu terus kekal di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Januari ini bagi membolehkannya berkhidmat kepada rakyat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, hujah Pas bahawa pilihan raya berkenaan tidak membawa apa- apa perubahan kepada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu tidak timbul.

''Kita faham soal tersebut kerana ini pilihan raya kecil Parlimen bukan Dewan Undangan Negeri (DUN). Apa yang penting BN bertanding kerana mahu menjadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya BN di sini, hari ini.

Abdullah mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang menegaskan bahawa jika Pas menang di Kuala Terengganu ia tidak akan menggugat pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN.

Oleh itu mereka menyeru pengundi-pengundi di kawasan berkenaan menyokong Pas.

Perdana Menteri berkata, pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, penduduk di Kuala Terengganu sudah memilih BN.

''Ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai keinginan untuk terus memilih wakil rakyat BN, oleh itu apabila ada kekosongan maka ia juga perlu diisi oleh calon BN," katanya.

Mengenai pelbagai tafsiran yang dibuat berhubung pilihan raya tersebut, Abdullah berkata, orang akan membuat pelbagai andaian sama ada ia pilihan raya kecil atau umum.

''Mereka membuat pelbagai kesimpulan bergantung kepada apa yang dia nak, kalau dia nak bagi tak elok dia akan cakap tak elok, kalau nak elok dia akan cakap elok, tetapi tidak semestinya apa yang dicakap itu mewakili rakyat," katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pengundi-pengundi bukan Melayu di Kuala Terengganu masih memberi sokongan kepada BN.

''Apa yang perlu ialah penerangan yang lebih bagi menjawab segala keraguan dan perkara ini terserah kepada jentera kempen," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap pengundi bukan Melayu akan terus menyokong BN kerana parti itu mempunyai banyak kebaikan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url