Rahsia batu megalitik


Pasti ramai di antara kita yang tidak tahu tentang kewujudan salah satu khazanah peninggalan bersejarah iaitu batu 'megalitik' yang mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada suatu ketika dulu.

Ini kerana, perkataan 'megalitik' yang berasal dari perkataan Greek 'mega' yang membawa maksud besar dan 'lithos' iaitu batu, boleh didefinasikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan.

Ia boleh didapati di beberapa buah negeri sekali gus mencerminkan bermulanya ketamadunan di sesebuah kawasan.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, zaman batu megalitik dikatakan bermula sejak abad ke-18 dan kebanyakan batu-batu yang terdapat di negara ini kenali dengan jenis 'Menhir'.

''Penemuan batu megalitik di sekitar negeri ini merupakan tanda perkembangan penempatan masyarakat awal yang menjadikannya sebagai tempat pemujaan, selain menaruh pelbagai kepercayaan yang diyakini mampu mempengaruhi ekonomi (pertanian) serta kebudayaan masyarakat ketika itu.

''Pada ketika itu juga, masyarakat yang bergantung terhadap pertanian sebagai sumber ekonomi utama mempercayai bahawa penyembahan serta pemujaan batu megalitik mampu membantu mereka untuk memperoleh tanaman yang subur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berdasarkan penemuan yang dibuat, kebanyakan batu-batu megalitik jenis Menhir ini boleh didapati di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Katanya, batu-batu megalitik yang merupakan monumen bersejarah itu turut digunakan sebagai tempat masyarakat dahulu berkumpul dan mengadakan persembahan tradisi untuk tujuan riadah.

Beliau berkata, peredaran masa dan kemasukan agama ke negara ini membuatkan masyarakat semakin mengubah fungsi batu tersebut dari masa ke semasa.

''Perubahan budaya, sosio dan ekonomi masyarakat dari semasa ke semasa turut membuatkan masyarakat menukarkan fungsi batu megalitik dengan menggunakan serpih batu sebagai batu nisan serta peralatan harian," ujarnya.

Shamsuddin berkata, kewujudan batu megalitik masih menjadi misteri kepada masyarakat umum dan juga penyelidik.

''Ini kerana pelbagai persoalan masih timbul tentang pengaruh kebudayaan ini sama ada ia datang melalui jalan laut atau darat," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan oleh mana-mana pihak.

Ketika ditanya mengenai keadaan batu-batu megalitik yang masih wujud sehingga kini, Shamsuddin memberitahu, semua batu yang ditemui akan dipulihara kerana ia merupakan salah satu bukti peninggalan khazanah negara.

''Masih terdapat lokasi batu yang belum dikenal pasti dan ini dikhuatiri ia akan dimusnahkan oleh pembangunan," tambahnya.

Antara tapak megalitik yang dikenal pasti di sekitar negeri ini ialah Pengkalan Kempas, Kuala Pilah, Kampung Ipoh dan Pulau Sebang di Tampin, Lembah Terachi, Kuala Pilah, Kampung Gedang, Kampung Padang Lebar, Kampung Kundangan Kiri, Kampung Masjid, Kampung Parit Tengah dan Kampung Talang - kesemuanya dalam mukim Terachi (Tampin-Kuala Pilah)
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url