Komentar - Mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO

Tiga hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, seorang sahabat yang membantu jentera parti pembangkang bertanya, tidakkah penulis berasa kecewa jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya berkenaan.

Dia yang juga merupakan seorang penulis bertanya demikian selepas memberitahu tinjauan yang dijalankan oleh Pas mendapati BN akan tewas sekitar 3,000 undi.

Ternyata apa yang diramalkan oleh kawan penulis itu menjadi kenyataan apabila BN tewas dengan majoriti 2,631 undi. Kekalahan buat kali kedua dalam pilihan raya kecil selepas Permatang Pauh pada Ogos lalu, memberikan isyarat yang jelas bahawa BN tidak lagi berada di zon selesa dalam arena politik negara. Jika dahulu apabila BN menyertai pilihan raya kecil, pembangkang akan berasa 'kecut perut' tetapi kini apa yang berlaku sebaliknya, BN pula yang berasa gusar sama ada menang atau tidak.

Kekalahan itu bermakna BN mencatatkan kegagalan dalam tiga pilihan raya yang disertainya. Walaupun dalam pilihan raya umum lalu BN terus diberi mandat memerintah namun ia seolah-olah berkuasa dalam keadaan lemah. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan melepaskan lima negeri kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor manakala Kelantan terus dalam genggaman Pas.

Hakikatnya, pembangkang tidaklah sekuat mana, kalau dahulu mereka bertanding secara berasingan mereka pasti tewas kepada BN tetapi sekarang melalui satu pakatan mereka menjadi kuat. Tetapi malangnya, ketika pembangkang mula memperkukuhkan barisan mereka, BN pula terutamanya UMNO semakin melemah dan dilihat tidak lagi membawa aspirasi rakyat.

Segala apa yang dilakukan termasuklah dalam sesetengah projek pembangunan, ia tidak dilihat sebagai mesra atau menguntungkan rakyat sebaliknya hanya sekadar untuk mencatatkan nama atau 'mengenyangkan' kelompok tertentu sahaja.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila masalah dalaman parti dengan sikap dengki mendengki antara pemimpin UMNO di peringkat bahagian seolah-olah menjadi 'barah' yang sukar diubati. Walaupun rakyat sudah memberi isyarat yang jelas dalam pilihan raya umum lalu dan di Permatang Pauh tetapi UMNO seolah-olah tidak mahu memahami isyarat berkenaan.

Akhirnya, apabila melihat kelekaan berterusan termasuk di Kuala Terengganu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengejutkan pemimpin dan ahli parti itu supaya memahami cabaran di hadapan mereka.

Gesaan Najib supaya BN segera bangkit melakukan perubahan diikuti oleh kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa UMNO sudah hilang daya penarik seharusnya memberi keinsafan kepada puak-puak dalam parti itu bahawa mereka akan hilang segala-galanya jika terus mengekalkan stail lama.Terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh BN jika mereka mahu kembali mendapat sokongan rakyat. Apa yang paling penting orang Melayu ingin melihat perubahan di dalam parti UMNO sendiri. Mereka sudah muak melihat sikap sesetengah pemimpin UMNO yang berebut jawatan, datang berkempen dengan menunjukkan kemewahan serta terlalu bergantung kepada parti untuk melakukan segala-galanya.

Mungkin kenyataan ini memeritkan tetapi sedikit sebanyak ahli-ahli UMNO perlu belajar daripada ahli-ahli Pas. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi parti dan tidak mengharapkan penajaan mana-mana pihak jika ingin datang berkempen. Ketika ada sesetengah pemimpin dan ahli UMNO berharap dapat tidur selesa di hotel sepanjang pilihan raya, pemimpin dan ahli Pas pula lebih bersedia tidur di rumah-rumah rakyat.

Kita tidak menafikan bahawa ada pemimpin UMNO yang berbuat demikian, kalau Timbalan Perdana Menteri atau pak-pak menteri tidur di hotel tidak apa kerana ia melibatkan soal keselamatan.

Tetapi bagaimana dengan pemimpin peringkat bawahan yang juga mahu layanan yang sama sedangkan mereka seharusnya bersama-sama rakyat siang dan malam bagi meraih sokongan. Oleh itu dalam usaha 'melahirkan semula' UMNO dan BN yang dikagumi, perubahan sikap di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli parti tersebut amat penting. Mereka perlu ditarbiyah semula untuk sanggup berkorban demi perjuangan parti dan bukan sekadar beretorik untuk berjuang demi parti tetapi segala-galanya ada upah yang perlu dibayar. Justeru jika BN tidak mahu ditolak secara total dalam pilihan raya umum akan datang, mereka perlu segera bangkit dan keluar dari sindrom merasakan parti itu masih kuat dan UMNO masih diterima rakyat.

Sikap berpura-pura dan sindrom penafian seharusnya sudah tidak ada lagi dalam kamus perjuangan ahli-ahli UMNO. Rakyat berasa muak apabila ada pemimpin di peringkat negeri dengan angkuh menyatakan BN masih kuat walaupun tewas di Kuala Terengganu sedangkan Najib memaparkan jiwa yang besar apabila mengakui kelemahan BN.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang masih lagi mengamalkan sindrom penafian ini seharusnya tidak lagi dibiarkan berada dalam parti. Rakyat sekarang sudah bijak menilai apa yang berlaku dalam arena politik negara, mungkin mereka tidak suka kepada pembangkang tetapi mereka tidak diberi pilihan berikutan pelbagai 'penyakit' yang ada kepada sesetengah pemimpin UMNO. Mereka masih melihat UMNO masih belum hilang dengan imej elit yang sudah berpuluh-puluh tahun dikaitkan dengan parti itu.

Apa yang malangnya, ketika UMNO dilihat sedemikian, pembangkang pula menyusun strategi dengan menggambarkan seolah-olah merekalah pakatan paling bersih dan berjiwa rakyat. Imej mesra rakyat yang dibawa oleh mereka, biarpun berbeza ideologi telah berjaya mempengaruhi rakyat menyokong mereka dalam pilihan raya.

Persoalannya, apakah UMNO dan BN kini tidaklah mesra rakyat? Kenapakah persepsi seumpama itu wujud? Sama ada hendak diakui atau tidak, segalanya kerana sikap sesetengah pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Mereka leka dengan perebutan jawatan dalam parti dan sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kedudukan. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah UMNO dan BN. Walaupun parti itu mempunyai rentetan sejarah yang panjang dalam memerdekakan dan membangunkan negara namun ia seolah-olah dilupakan oleh rakyat yang menolaknya dalam pilihan raya. Berdasarkan hakikat itu, berikutan kedudukan pembangkang yang kini dilihat semakin ampuh, UMNO perlu berubah ke arah memperbaiki segala kelemahannya.

Justeru dalam kesempatan yang diberikan oleh rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang, patuhi dan dengarlah nasihat Najib dan Muhyiddin jika tidak mahu kehebatan UMNO dan BN hanya menjadi catatan sejarah di Muzium Negara suatu hari nanti.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url