Kelebihan operasi Islamic Relief Malaysia (IRM)

Sama ada tsunami di Aceh, gempa bumi di Pakistan, taufan di Myanmar mahu pun letusan gunung berapi di Jawa, rakyat Malaysia ternyata tidak pernah gagal menghulurkan bantuan.

Justeru apabila dunia dikejutkan dengan serangan udara Israel ke atas Genting Gaza ketika masyarakat antarabangsa membilang hari untuk meraikan ambang tahun baru, rakyat Malaysia sekali lagi bingkas tampil berusaha melakukan perkara yang sama.

Apatah lagi bagi umat Islam yang sememangnya dituntut untuk mendalami dan berkongsi keperitan saudara seagama seperti yang dirasai mangsa serangan menggila Israel itu.

Maka pergilah ke mana-mana sekarang ini daripada sekolah, masjid sehinggalah ke pusat membeli belah, tersedia tabung-tabung bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Dan ratusan lagi sukarelawan sama ada doktor pakar, doktor biasa, paramedik mahu pun ahli pertubuhan mempertahankan diri bersedia bila-bila masa menawarkan khidmat untuk dihantar ke Gaza bagi tujuan tersebut.

Namun tidak seperti mana di kawasan bencana lain yang disebabkan faktor alam, penyaluran bantuan bagi krisis kemanusiaan di Gaza ternyata berbeza sama sekali.

Jika kawasan gempa, gunung berapi, taufan mahu pun tsunami, bantuan kemanusiaan boleh segera disalurkan sebaik sahaja aspek logistik disiapkan.

Sedangkan bagi mangsa konflik peperangan di Gaza, banyak halangan terpaksa ditempuhi gara-gara sikap kebinatangan rejim Zionis.

Bukan sahaja kerana bom, roket dan peluru yang tidak mengenal mangsa, tetapi untuk melepasi pintu sempadan antarabangsa dengan Gaza termasuk di Rafah sendiri terlalu banyak halangan kerana yang 'menjaga pintu' di situ ialah Israel sendiri.

Justeru kezaliman rejim itu bukan sahaja terhadap kegilaan mereka mengebom bumi Gaza tanpa mengira hospital, sekolah atau masjid, malah bantuan kemanusiaan selepas gencatan senjata ketika ini sekalipun cuba disekat mereka.

Seperti mana yang dipaparkan media, deretan lori dari Mesir yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan tersadai saban hari di pintu masuk antarabangsa oleh kerana tidak mendapat 'lampu hijau' Israel.

Malah pasukan doktor perubatan antarabangsa sendiri masih ramai yang tidak dapat memasuki Gaza kerana pelbagai alasan dan sekatan.

Selain itu, keadaan turut diburukkan dengan polisi dingin kerajaan Mesir dan pihak-pihak lain yang berkongsi sempadan dengan Gaza hanya kerana 'kebanggaan' mereka menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS).

Dan kerana kewujudan halangan yang melangkaui batas kemanusiaan itu lebih banyak sumbangan masyarakat antarabangsa tersadai daripada yang dapat disalurkan.

Setakat yang dilaporkan, hanya terdapat 30 organisasi antarabangsa yang berjaya menghulurkan bantuan iaitu NGO-NGO yang sudah sedia berada di Gaza.

Satu daripadanya ialah Islamic Relief sendiri yang terlibat menjalankan kerja-kerja kemanusiaan sejak 11 tahun lalu di Gaza.

Dan bagi rakyat Malaysia, kita boleh menarik nafas lega kerana pertubuhan yang diakui seluruh dunia dalam bidang ini turut mempunyai pejabat mereka di Malaysia selain lebih 40 lagi di serata dunia.

Sehubungan itu melalui kerjasama Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM), sebuah tabung yang dikenali sebagai Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) ditubuhkan 8 Januari lalu untuk memudahkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan.

Justeru melalui rangkaian IR yang sedia ada di Palestin, ia merupakan satu peluang bagi memastikan setiap sen yang disumbangkan dapat disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan di Gaza.

Menurut Pengurus Negara IRM, Zawahir Abdullah, walaupun IR adalah sebuah pertubuhan antarabangsa, namun dalam konteks Malaysia, IRM bergerak sebagai sebuah NGO tempatan.

''Penubuhan IRM bermula pada 2005 dengan pelancarannya dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Objektif awal ialah sebagai pangkalan IR di seluruh dunia untuk menggerakkan misi bantuan di Aceh.

''Selepas Aceh, IRM sendiri terlibat dalam bantuan di dalam negara seperti bantuan bulan puasa, program agihan daging korban, penubuhan perpustakaan serta bantuan mangsa banjir kerana bagi kita, misi kemanusiaan tidak terhad kepada soal bencana semata,'' ujarnya.

Sehubungan itu, jelas Zawahir, dalam keadaan konflik seperti di Gaza, sebenarnya tidak penting untuk terlalu memikirkan kepada siapa sumbangan itu dihulurkan sama ada NGO tempatan atau antarabangsa.

Kata beliau, sebaliknya yang paling mustahak ialah memastikan setiap ringgit yang disumbangkan itu dapat diterima oleh mangsa-mangsa kekejaman Israel yang kini amat dahagakan bantuan antarabangsa.

''Ini bukan soal kepada siapa diberi tetapi siapa yang menerima. Dan inilah kelebihan IRM kerana kita mempunyai rangkaian IR di Palestin yang membolehkan bantuan terus disalurkan kepada mangsa.

''Dari Malaysia sendiri kita telah menghantar 18 tan daging korban di bawah program IR untuk agihan penduduk Gaza baru-baru ini.,'' katanya.

Sememangnya situasi Gaza jelas tidak seperti mana kejadian tsunami di Acheh pada penghujung 2004 yang lalu kerana faktor geografi yang tidak memungkinkan penghantaran barangan dilakukan daripada Malaysia.

Jika di Aceh rakyat boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk barangan sama ada makanan, air minum, pakaian mahu pun apa sahaja yang diperlukan kerana kos penghantaran adalah murah.

Jadi, seperti mana yang dijelaskan Zawahir, bantuan IRM adalah melalui penyaluran wang tunai kepada IR Palestin yang beroperasi di Genting Gaza dan Tebing Barat.

''Ini kelebihan operasi IRM. Kita online sahaja berapa jumlah komitmen kita, duit akan sampai ke pejabat operasi di Palestin. Tak perlu hantar orang.

''Kemudian pejabat IR di Gaza akan beli barang yang diperlukan. Oleh itu, secara pastinya, wang sumbangan kita akan dimanfaatkan bagi membantu penduduk Gaza,'' jelasnya.

Efisiensi IR di Gaza sendiri dapat dilihat bagaimana mereka telah berjaya menyalurkan bantuan kecemasan selepas enam jam sebaik sahaja bermulanya insiden serangan udara pada 27 Disember lalu.

Ini termasuk lima trak bantuan perubatan mengandungi Span laporatomi, gauze, VICRYL, jarum hipodermik, splint kramer, sarung tangan pembedahan getah steril, tiub oral endotrakeal dan pembalut plaster of Paris dengan pelbagai kuantiti dan saiz di hantar ke hospital utama di Gaza.

Sejak itu, dengan koordinasi beberapa pihak lain, banyak lagi keperluan yang dikenal pasti untuk tujuan bantuan kecemasan.

Maka dari hari ke hari IR menyalurkan pelbagai bentuk bantuan ke sekitar Gaza seperti Khan Younis, Bandar Gaza, Rafah dan Middle Area. Antara hospital yang terlibat dengan bantuan IR ialah Hospital Al-Shifa, Hospital Nasr dan Hospital Abu Yousef El Najar selain pusat perlindungan kendalian UNRWA.

Justeru, menurut Zawahir, pejabat IR di Palestin kini amat memerlukan wang untuk membolehkan mereka membeli barangan kecemasan termasuk untuk tujuan stok.

''Dapat duit, beli barang dan kemudian salurkan sumbangan itu. Dengan aktiviti ekonomi termasuk perbankan yang telah pulih, ia membolehkan barangan ini dibeli di Gaza dan sempadan Israel serta Mesir.

''Kita pun setakat ini dah agihkan berpuluh ribu pek makanan kecemasan yang mengandungi barang seperti beras, gula, kekacang dan daging dalam tin selain pakaian terutama selimut.

''Begitu juga dengan agihan kit kebersihan diri dan bantuan perubatan berupa ubat-ubatan dan peralatan yang telah kita agihkan di merata tempat selepas kejadian serangan itu,'' katanya.

Selain membeli barangan di Gaza dan Tebing Barat, IR juga membawa masuk barangan keperluan dari sempadan Mesir dan Israel.

Oleh demikian walaupun dengan pelbagai kesukaran kerana kawalan sempadan ketat yang sengaja dilakukan Israel, namun melalui rangkaian operasi bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), IR masih berjaya menghantar bantuan ke Gaza bersama pertubuhan berkenaan.

''Ini membolehkan barangan yang tidak boleh dibeli dalam Gaza dapat dibawa masuk dengan antaranya susu tepung, ambulans dan kelengkapan perubatan. Sementara barang makanan pula banyak yang dibeli di Tebing Barat,'' kata Zawahir.

Sementara itu, walaupun keadaan di Gaza seakan-akan reda seketika dengan gencatan senjata ketika ini, namun tiada siapa boleh menidakkan kemungkinan gelombang kedua serangan udara Israel.

Dalam seketika waktu ini, apa yang pasti, bantuan kepada Gaza tidak harus terhenti. Mungkin bantuan kecemasan tidak lagi menjadi mustahak, namun kemusnahan yang dihadapi di wilayah itu ternyata memerlukan lebih banyak perhatian.

''Masa ini kutipan untuk dana kecemasan masih berjalan tetapi selepas suatu peringkat dana akan beralih kepada tujuan pemulihan dan pembangunan semula Gaza pula,'' ujar Zawahir.

Sememangnya berdasarkan apa yang dapat disaksikan bagaimana serangan tanpa henti selama 22 hari oleh tentera Israel menyebabkan bumi Gaza dianggap musnah 10 kali lebih dahsyat dari gempa bumi selain lebih 1,300 lagi yang terkorban.

Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai sesama umat manusia, untuk menghulurkan sedaya termampu semoga setiap ringgit yang dihulurkan setidak-tidaknya dapat meringankan beban mereka yang menjadi mangsa kedurjanaan jenayah perang Israel.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url