Mengundi pilihan raya wajib syarie

Mungkin lebih separuh daripada 80,000 pengundi akan menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Ia menjadi medan penentu kepada pengaruh politik mana yang lebih menonjol khususnya kepada dua parti besar yang bertanding iaitu parti Barisan Nasional dan parti Pas yang mewakili Pakatan Rakyat.

Apa pun rakyat dan pengundi yang menjadi penentu segalanya. Pemenang adalah mereka yang mewakili pandangan majoriti kepada pengundi Parlimen Kuala Terengganu.

Persoalan yang ingin ditimbulkan apakah mengambil pandangan majoriti dalam pilihan raya adalah sesuatu yang selari dengan tuntutan syarak.

Tokoh ilmuwan Islam kontemporari Dr. Yusuf al Qardawi menjelaskan bahawa demokrasi yang sering dilaungkan pada hakikatnya adalah berupa mengambil pandangan majoriti dalam menentukan keputusan.

Dalam konteks pilihan raya ini, ia menentukan siapakah yang akan menjadi wakil rakyat untuk berkhidmat menjaga kepentingan awam.

Bagaimana hukum keluar mengundi menjadi wajib dari sudut syarak. Al-Qardawi menjelaskan pengundi adalah pemberi saksi. Pengundi akan memberikan penyaksiannya terhadap siapakah calon yang benar-benar layak untuk ditabalkan menjadi wakil mereka.

Pengundi samalah dengan pemberi saksi di dalam mahkamah. Jika seseorang di dalam mahkamah tidak bersedia memberikan penyaksiannya maka kemungkinan besar akan bebaslah mereka yang bersalah atau terpenjaralah mereka yang tidak bersalah.

Begitu juga jika seseorang itu adalah pemberi saksi yang penipu maka natijah yang sama di dalam mahkamah akan berlaku, kebenaran sudah pasti tidak dapat ditegakkan.

Hal ini adalah sama di dalam pilihan raya, jika seorang pengundi tidak keluar mengundi maka kemungkinan akan tewaslah calon yang baik lagi beriman, pemimpin yang berkarisma, yang akan berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat tanpa terpengaruh dengan duniawi.

Begitulah sebaliknya jika seseorang tidak keluar mengundi maka akan menanglah calon yang jahat lagi fasiq, pemimpin yang berkepentingan, yang hanya tahu berkata-kata tetapi tidak melakukannya.

Atas dasar ini, keluar mengundi adalah satu kewajipan bagi mereka yang telah layak untuk melaksanakannya. Tunaikan tanggungjawab anda seperti mana seorang saksi memberikan penyaksiannya di dalam mahkamah.

Pilihlah mereka yang benar-benar ikhlas akan berkhidmat untuk anda demi agama, bangsa dan negara. Dan janganlah menjadi pengundi seperti mana saksi yang penipu dan punya kepentingan tertentu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url