Menunggu Obama 20 Januari

Selepas Presiden George W. Bush diberikan ucapan "selamat jalan" dengan sepasang kasut oleh wartawan Iraq, ucapan "selamat datang" kepada Barack Obama pula dengan serangan tanpa perikemanusiaan oleh rejim zionis Israel ke atas Gaza di Palestin. Obama akan memegang tampuk pentadbiran AS secara rasmi pada 20 Januari ini dan sekarang adalah era transisi daripada Bush kepada Obama.

Walaupun Obama belum boleh berbuat apa-apa mengenai isu Palestin tetapi sebahagian daripada kempen pilihan raya presiden tahun lalu, isu Asia Barat digunakan untuk meraih perhatian. Obama memperlihatkan dasar luar yang berbeza dengan Bush dalam kemelut Asia Barat khususnya negara-negara yang bergolak. Obama memilih pendekatan rundingan dan bukan serangan.

Apakah yang mampu dilakukan Obama untuk menangani isu Palestin? Yang mana satukah yang akan diberi keutamaan oleh Obama antara krisis kemanusiaan paling tragis di Palestin dengan krisis ekonomi yang juga terburuk sejak 1930? Ketika ini Obama sudah mulai berhempas pulas bersama pasukan pemikir dan perlaksanaannya untuk menangani keruntuhan ekonomi terburuk AS.

Banyak pihak menunggu 20 Januari untuk melihat pendirian Obama mengenai isu Palestin. Pada masa yang sama banyak juga menunggu Obama memberikan sedikit penawar kepada krisis ekonomi selepas bercadang memotong cukai sebanyak AS$500 bagi individu dan AS$1,000 bagi pasangan suami isteri sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi AS. Sekiranya potongan itu dilaksanakan kerajaan pimpinan Obama akan kehilangan AS$300 bilion pendapatan daripada kutipan cukai. Tetapi di sebalik kehilangan pendapatan kerajaan yang begitu besar, secara teorinya ini diharap dapat merangsang ekonomi AS yang jatuh teruk sejak tahun lalu.

Muflis

Ketika ini kerajaan telah menyalurkan dana AS$700 bilion untuk menyelamatkan beberapa syarikat korporat daripada menjadi muflis. Ternyata jumlah itu belum mencukupi untuk meletakkan ekonomi AS kembali seperti sebelum pertengahan 2008 yang lalu. Obama seorang presiden AS yang paling malang. Selepas berhempas pulas untuk mencatat sejarah sebagai presiden kulit hitam AS pertama dan menangkis sentimen warna kulit semasa kempen pilihan raya presiden, laluan sukar sebenarnya belum selesai.

Tarikh 20 Januari tentulah bukan tarikh yang menggembirakan bagi Obama kerana beliau memasuki Rumah Putih bukan seperti sekian banyak presiden AS yang lain. Mereka memasuki Rumah Putih tatkala AS menjadi negara yang begitu teguh kuasa ekonominya termasuk Bush. Presiden AS boleh berbelanja besar untuk melancarkan perang ke atas negara lain. Tetapi ini sangat berbeza dengan era yang akan dilalui oleh Obama.

Satu lagi cabaran Obama adalah kuasa besar ekonomi yang beralih daripada AS kepada China. China mempunyai potensi yang sangat cerah menjadi kuasa besar dalam bidang ekonomi apa lagi dengan keadaan krisis ekonomi AS yang teruk ketika ini. Penganjuran Sukan Olimpik di Beijing tahun lalu dilihat sebagai simbol kebangkitan China di dunia global selepas membuka pintu seluas-luasnya yang tertutup oleh dasar pemimpin sebelum ini. Signifikan kebangkitan yang sangat drastik ini diperlihatkan dengan kejayaan melobi dan seterusnya menjayakan Sukan Olimpik di Beijing.

Menanggung

Obama dilihat terpaksa menanggung begitu banyak legasi buruk yang ditinggalkan oleh Bush termasuklah krisis Palestin -Israel yang begitu panjang dan juga Iraq yang sudah dimusnahkan tetapi belum mendapat kemerdekaan yang sebenarnya. Legasi buruk ini sebenarnya memberi keuntungan kepada Obama semasa berkempen kerana sebahagian besar rakyat AS menentang peperangan yang dilancarkan ke atas Iraq.

Tetapi realiti selepas menduduki tampuk kuasa negara kuasa besar itu tentu tidak sama dengan kemanisan janji pilihan raya. Di mana-mana pilihan raya juga sama, berjanji dan menunaikan janji adalah dua perkara yang sangat berbeza. Begitu juga dengan Obama yang membisu dengan serangan zionis ke atas Palestin kerana beliau belum menjadi presiden. Sementara Bush pula sudah tidak ada pengaruh dan terpaksa juga membisu dengan isu Palestin. Bush telah melepaskan AS dengan kantung duitnya yang sedikit kepada Obama dan duit itu banyak disalurkan untuk mementaskan peperangan di Iraq dengan menggunakan lesen "demokrasi".

Serangan zionis ke atas Palestin dirancang dengan cukup teliti dan begitu menepati strategi. Zionis memilih masa peralihan kuasa di mana kedua-dua presiden tidak mempunyai suara yang sepenuhnya, itu pun sekiranya presiden AS mahu bersuara memberhentikan peperangan yang dicipta zionis. Tetapi dunia tahu bahawa AS yakni Obama tidak akan melakukan satu tindakan drastik dengan melanggar sekian banyak tatacara presiden terdahulu dalam isu Palestin. Malah dunia tahu bahawa rejim zionis itu adalah proksi AS di Asia Barat yang bertujuan menundukkan dunia Arab kepada kerajaan sekecil Israel.

Banyak pihak percaya Obama tidak banyak mengubah dasar yang lalu terutama yang melihatkan kepentingan Yahudi. Ini disebabkan acuan politik yang melingkari Obama telah sekian lama didominasikan oleh kalangan Yahudi malah kejayaan Obama juga antara faktornya disebabkan pelobi-pelobi Yahudi yang menguasai ekonomi AS.

Walaupun banyak yang mengharapkan dunia akan berubah dengan berubahnya dasar luar AS mulai 20 Januari ini, tetapi dalam banyak hal ada alasan juga bahawa siapa juga yang menduduki kerusi presiden AS akan larut dalam tatacara yang diamalkan sekian lama dulu. Maka 20 Januari hanya satu angka dalam sejarah di mana seorang presiden kulit hitam di negara kulit putih yang pertama memasuki Rumah Putih. Selainnya akan tercatat dalam sejarah juga tentang peritnya Obama menguruskan sebuah negara kuasa besar yang hampir muflis kuasa ekonominya.

Semasa Obama masih menjadi peguam dan pensyarah suatu ketika dulu, beliau pernah berkata, "Penderitaan di Palestin paling teruk di dunia." Tetapi kenyataan itu ketika Obama belum menjadi pemain politik yang di pentasnya penuh sandiwara. Adakah pada 20 Januari ini Obama akan mengulangi kata-kata simpati itu kepada Palestin?
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url