Nikmati anugerah kebebasan beragama dengan kesyukuran

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya, Johor Bahru

Sambutan perayaan pelbagai agama di Malaysia adalah antara nikmat kebebasan beragama yang mesti dihayati sepenuhnya oleh semua kaum. Setiap orang bertanggungjawab memelihara anugerah ini dengan sebaik mungkin.

Perbuatan sesetengah pihak mencampuri urusan agama lain boleh menimbulkan ketegangan kaum yang mengakibatkan perbalahan berpanjangan dan merugikan negara.

Hak kebebasan beragama telah lama dipraktikkan dalam Islam. Bahkan menjadi antara asas utama pembinaan tamadun Islam Madinah.

Fasal 16 Perlembagaan Madinah menyebut: "Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu umat bersama-sama orang mukmin. Bagi mereka kebebasan menganut agama mereka dan orang Islam dengan agama mereka. Begitu juga orang yang berada di bawah mereka dan diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya."

Melalui ketetapan itu, masyarakat majmuk Madinah iaitu orang Islam, Yahudi dan lain-lain bebas mengamalkan ajaran agama mereka, termasuk menyambut perayaan tanpa diganggu.

Selain itu, rumah-rumah ibadat mereka juga dipelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan sebagai manifestasi kebebasan beragama yang dipraktikkan oleh Islam.

Situasi yang sama turut dirakam dalam lipatan sejarah kegemilangan umat Islam di Andalus atau Sepanyol Islam. Penganut Yahudi dan Kristian Eropah diberi kebebasan melaksanakan ajaran agama mereka. Malah seorang hakim bergelar Qadi al-Ajam juga dilantik bagi menyelesaikan segala permasalahan.

Di Malaysia, kebebasan beragama merupakan perkara yang dipraktikkan sejak merdeka. Keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang dikecapi hari ini adalah implikasi daripada kesatuan bangsa Malaysia.

Oleh itu, sebarang usaha merosakkan keharmonian tersebut mesti dicegah dari awal agar tidak menjadi api dalam sekam.

Ketetapan ini boleh dilihat dalam Perkara (11) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) dalam mengembangkan agamanya.

Selanjutnya dalam Perkara 3 dinyatakan pula agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Maka seharusnya tiada pihak mengambil kesempatan untuk memporak-perandakan keadaan ini.

Tindakan Herald Catholic menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka boleh dianggap keterlaluan. Ia menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat Islam.

Rakyat negara ini seharusnya memanfaatkan kebebasan beragama sebaik mungkin selari dengan usaha kerajaan mewujudkan Malaysia maju menjelang 2020.

Sejarah dunia membuktikan bagaimana konflik agama yang tidak ditangani dengan berhemah akan mengundang pertumpahan darah dan merosakkan integrasi kaum dan budaya.

Peristiwa Masjid Babri di India yang dirobohkan oleh pelampau Hindu pada 6 Disember 1992 adalah contoh terbaik.

Kesannya lebih 2,000 penduduk di India dan Pakistan terbunuh dalam pergaduhan yang tercetus oleh konflik agama itu.

Bagi mengelak kejadian seperti itu berlaku di sini, semua pihak mesti mematuhi prinsip kebebasan beragama. Prinsip ini hendaklah menjadi kayu ukur kepada sikap toleransi agama.

Selain itu, sikap melampaui batas, taksub dan fanatik perlu dihindari. Ketiga-tiga sikap buruk ini jika dibiarkan akan mengundang perbalahan, konflik dan pertumpahan darah.

Amalan berdialog boleh dipraktikkan bagi merapatkan jurang perbezaan pendapat yang lahir daripada latar belakang agama, budaya dan bangsa.

Budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain yang menjadi simbol penyatuan budaya berbagai kaum perlu diteruskan khususnya oleh generasi muda yang bakal menjadi pewaris tamadun Malaysia.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url