Badan Disiplin UMNO diperbesar
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang berlarutan lebih tiga jam malam ini berkata, pembesaran lembaga itu akan melibatkan penambahan anggota.
‘‘Ini supaya kes yang dilaporkan dapat diberi perhatian dan diperkembangkan serta keputusan mengenainya akan dapat dibuat dengan secepat mungkin,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa politik wang adalah tidak baik dan perlu dielakkan.
Mengenai laporan post mortem Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, ia masih perlu diperincikan lebih lanjut lagi oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO.
Katanya, MT malam ini turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera parti di seluruh negara yang membantu sewaktu pilihan raya tersebut.
‘‘Laporan itu tebal juga, nanti kemudian kita akan bagi tahu. Laporan post mortem mengenainya akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pengurusan,” jelasnya.
Mengenai dengan program pemukiman UMNO tidak lama dahulu, Abdullah berkata, banyak pandangan yang dibincangkan akan diputuskan pelaksanaannya dalam tempoh dua bulan menjelang perhimpunan agung UMNO.
‘‘Banyak perkara sebenarnya.Jadi elok bila bermula sekarang, semua itu akan berjalan dengan lebih cepat
‘‘Masa dulu ada bincang pengundian, kuota dan pendekatan yang baik. Kajian itu perlu diperhalusi dan boleh dilaksanakan dengan cepat selepas pemilihan,” katanya.
- Utusan