Pastikan pengundi muda terus sokong BN - Hishammuddin (PRK Kuala Terengganu)


Pergerakan Pemuda UMNO akan berusaha memastikan sokongan pengundi muda yang ditunjukkan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum lalu diteruskan pada pilihan raya kecil ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kewujudan sokongan itu dapat dilihat berdasarkan statistik lalu yang menyaksikan banyak saluran tiga dan empat di beberapa peti undi dalam kawasan itu dimenangi oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.

''Malah ada peti undi walaupun saluran satu dan dua kita kalah tetapi tiga dan empat kita menang. Ini menjadi satu petanda dalam suasana pilihan raya umum yang lalu bahawa kita sudah ada sokongan pengundi muda.

''Ini akan kita teruskan sehingga 17 Januari ini, insya-Allah. Kalau kita betul-betul mendekati pengundi muda di Kuala Terengganu, tidak ada sebab mengapa trend ini tidak dapat diteruskan," katanya.

Hishammuddin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Muda Sekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan gerak kerja kempen Pemuda, Hishammuddin berkata, perasaan sebegitu tidak boleh ada pada dirinya.

''Ini kerana apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata hendak memenangkan calon tetapi perjuangan untuk memastikan kesinambungan dasar-dasar yang telah terbukti berjaya di Terengganu khususnya pendidikan.

''Sebab itu buat macam mana pun, biar tidak tidur sampai 17 Januari ini pun kita tidak boleh berpuas hati," jelasnya.

Mengenai cadangan Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir supaya diadakan 'gencatan kempen' untuk sehari oleh Pas dan BN sebagai menandakan kesepakatan dalam isu Gaza, Hishammuddin berkata, apa yang berlaku di Palestin itu lebih besar daripada apa yang berlaku di Kuala Terengganu.

''Dalam konteks Palestin, tindakan kita lebih besar daripada itu (gencatan politik). Adakah kita (Pas dan BN) buat gencatan sehari di sini akan berhenti keganasan di Palestin.

''Yang penting kita jalan saja ke depan dalam isu Palestin ini, siapa nak berhimpun, siapa nak tulis surat kepada AS, jalan saja. Rakyat dan parti politik boleh membezakannya, saya percaya," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url