Keberkesanan perubahan selepas pilihan raya umum - Annuar Musa (PRK Kuala Terengganu)

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi medan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menguji keberkesanan perubahan yang telah dilakukannya selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses penambahbaikan telah banyak dilakukan bagi memantapkan parti dan meningkatkan keyakinan rakyat setelah mendapat 'isyarat' pada pilihan raya umum lalu.

"Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bukan untuk membentuk kerajaan negeri atau Pusat tetapi bagi menilai pengiktirafan kepada BN terhadap apa yang dilakukan.

"Kita sedang melakukan penambahbaikan dan memberi respons terhadap apa yang rakyat isyaratkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, BN sedang kembali menjadi parti yang kuat dengan membaiki setiap ruang kelemahan.

"Rakyat sudah tentu hendak tengok penambahbaikan selepas pilihan raya lalu dan saya percaya BN akan menjadi parti yang lebih baik untuk semua.

"Pas sudah menjenamakannya sebagai sebuah parti untuk semua. Tetapi kita harus menjadi parti untuk memberi kebaikan kepada semua, bukan setakat menjadi parti untuk semua tetapi tidak memberi kebaikan," katanya.

Menurut beliau, pakatan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya cuba untuk meniru cara BN tetapi gagal.

Jelasnya, kegagalan tersebut disebabkan pakatan pembangkang gagal mencari titik pertemuan dalam melayan tuntutan parti masing-masing.

"BN adalah parti yang sentiasa diuji dan dapat memenuhi tuntutan setiap kaum, agama dan parti melalui titik persamaan yang telah lama ditemui berbanding pakatan pembangkang," katanya.

Tambahnya, kegagalan mencari titik pertemuan akan menyebabkan kerajaan pakatan pembangkang tidak dapat menjalankan pemerintahan dengan baik dan rakyat akan rugi kerana memberikan kepercayaan kepada mereka.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url