Pemegang kad kredit RHB cecah 1 juta
Ketua Runcit RHB Bank, Renzo Viegas berkata, sasaran itu mampu dicapainya meskipun dalam menghadapi keadaan persekitaran ekonomi yang sukar pada tahun ini.
Katanya, antara faktor utamanya ialah dengan pelancaran kad kredit yang dilaksanakan bersama dengan pasar raya besar Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. yang mana ia memberi banyak kelebihan kepada pengguna kad tersebut yang kini lebih bijak dan berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan masing-masing.
''Kami juga sedang merancang untuk menjalinkan usaha sama dengan beberapa syarikat utama lain untuk memperkenalkan kad kredit baru di sepanjang tahun ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kad kredit Tesco-RHB dan kad debit Tesco-RHB, di sini hari ini.
Majlis yang telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Michael Barret dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, David Hobbs.
Mengenai kelebihan kad kredit RHB itu, Barret berkata, setiap pelanggannya akan menikmati tunai rebat sebanyak dua peratus dan mata ganjaran berganda pula dimasukkan dalam kad keahlian Tesco, Clubcard.
Pada penghujung minggu terakhir setiap bulan pula, setiap pemilik kad kredit tersebut akan menikmati rebat tunai sebanyak lima peratus dan dalam masa yang sama mata ganjaran berganda dalam Clubcard.
''Melalui pengumpulan mata ganjaran tersebut dalam kad berkenaan, pengguna tersebut boleh menebus mata ganjaran yang terkumpul itu sebagai baucer tunai yang membolehkan mereka membeli belah semula di semua pasar raya Tesco seluruh Malaysia,'' katanya.
Sementara itu, Hobbs menerangkan bahawa pasar raya besar itu akan membuka empat lagi cawangannya pada tahun ini yang mana dua daripadanya masing-masing berada di Semenyih dan Kuala Selangor.
Beliau yakin melalui pembukaan dua rangkaian tersebut, Tesco mampu mencatat pertumbuhan jualan yang baik memandangkan pasaran di daerah berkenaan masih baru.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai pelaburan yang akan diperuntukkan untuk cawangan baru itu termasuk dua lagi lokasi baru cawangannya.
- Utusan